DUNIA > BERITA

Ketua PBB Kecam Pembunuhan Penduduk Gaza Yang Cuba Dapatkan Makanan

18/06/2025 06:28 PM

NEW YORK, 18 Jun (Bernama-Xinhua) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengecam pembunuhan dan kecederaan terhadap penduduk Gaza yang cuba mendapatkan bantuan makanan dari tapak agihan bersenjata bukan di bawah seliaan PBB sebagai “tidak boleh diterima”, lapor Xinhua.

Jurucakap Guterres menyatakan perkara itu pada Selasa.

“Setiausaha Agung mengecam kehilangan nyawa dan kecederaan terhadap orang awam di Gaza yang sekali lagi ditembak ketika cuba mendapatkan makanan,” kata timbalan jurucakapnya, Farhan Haq. “Ia tidak boleh diterima.”

Kenyataan itu merupakan kecaman paling keras daripada ketua PBB terhadap insiden pembunuhan itu.

Pejabat PBB bagi Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 338 orang terbunuh dan lebih 2,800 cedera ketika cuba mendapatkan makanan di pusat agihan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) sejak program yang disokong Israel dan Amerika Syarikat itu bermula lewat Mei lalu.

Haq berkata setiausaha agung terus menyeru agar siasatan segera dan bebas dijalankan terhadap semua laporan pembunuhan dan agar Israel dipertanggungjawabkan.

Jurucakap itu menegaskan ketua PBB berpendapat bahawa keperluan asas penduduk Palestin di Gaza adalah besar dan masih belum dipenuhi.

“Israel mempunyai kewajipan yang jelas di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk bersetuju dan memudahkan bantuan kemanusiaan kepada semua orang awam yang memerlukannya,” katanya.

“Kemasukan bantuan kemanusiaan secara berskala tanpa halangan mesti dipulihkan serta-merta. PBB dan semua agensi kemanusiaan mesti dibenarkan bekerja dalam keadaan selamat dan terjamin, dengan syarat menghormati prinsip kemanusiaan sepenuhnya.”

“Setiausaha Agung terus menyeru kepada gencatan senjata kekal dengan segera,” kata Haq.

Menurut OCHA, rakan pelaksana kemanusiaannya melaporkan, lebih 60 orang terbunuh dan lebih 280 cedera pada Selasa sahaja, sebahagiannya parah, semasa menunggu bantuan di Khan Younis.

Tentera Israel mengesahkan yang askarnya melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan kejadian itu sedang disiasat.

Pejabat PBB memaklumkan yang mangsa dibawa ke Kompleks Perubatan Nasser, yang unit kecemasan dan rawatan rapi sudah terlebih kapasiti dan pasukan perubatan beroperasi dengan bekalan minimum.

Kira-kira 70 daripada yang cedera dirujuk ke hospital lapangan, terutamanya Hospital Lapangan Pasukan Perubatan Antarabangsa.

Jonathan Whittall, ketua pejabat OCHA di wilayah Palestin yang diduduki, yang berada di Gaza, berkata insiden yang meragut banyak nyawa sebahagian daripada corak menakutkan di mana mangsa yang terselamat berulang kali menceritakan serangan yang berlaku ketika mereka cuba mendapatkan bantuan untuk terus hidup.

OCHA menegaskan bahawa orang awam tidak seharusnya disasarkan, apatah lagi mereka yang sedang berusaha mendapatkan makanan di tengah-tengah ancaman kebuluran.

“Rakan-rakan kemanusiaan kami terus melaporkan yang bekalan bahan api di Gaza telah mencapai tahap kritikal,” menurut pejabat itu. “Tanpa bekalan semula segera, perkhidmatan penting termasuk bekalan air bersih akan terhenti dalam masa terdekat.”

OCHA berkata bekalan diesel yang diperlukan untuk mengendalikan peralatan kritikal di selatan Gaza hampir habis sepenuhnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tiada bahan api memasuki Gaza selama lebih 100 hari dan usaha untuk mengambil stok bahan api dari zon pemindahan  dihalang oleh pihak berkuasa Israel.

Menurut agensi kesihatan itu ,  17 hospital, tujuh hospital lapangan dan 43 pusat kesihatan utama yang beroperasi dengan bekalan bahan api harian minimum akan kehabisan sepenuhnya tidak lama lagi.

“PBB dan rakan kemanusiaan kami sekali lagi menyeru akses kemanusiaan segera dan tanpa halangan kepada bekalan bantuan kami, kepada keluarga di Genting Gaza, dan kepada stok bahan api kami,” jelas OCHA.

Pejabat itu turut menyatakan yang arahan pemindahan tambahan oleh Israel menambahkan lagi tekanan ke atas situasi yang sudah tidak tertanggung, terutamanya bagi kanak-kanak.

Ia turut melaporkan beberapa pusat perlindungan kanak-kanak terpaksa ditutup akibat arahan tersebut, sekali gus menyebabkan pusat yang masih beroperasi menjadi terlalu sesak.

Pejabat itu berkata di Tebing Barat, pasukan Israel memperketat sekatan pergerakan antara bandar dan kampung Palestin menerusi lebih 800 sekatan fizikal seperti pusat pemeriksaan, pintu pagar, sekatan jalan dan penghalang lain.

“Langkah ini memecah-belahkan Tebing Barat secara efektif, mengasingkan komuniti daripada perkhidmatan penting dan sumber mata pencarian,” kata OCHA, sambil menambah bahawa operasi ketenteraan Israel di kawasan utara semakin meningkat, menyebabkan perpindahan dan kemusnahan selanjutnya.

Menurut pejabat itu lagi pasukan Israel meneruskan serbuan besar-besaran di kem Askar di Nablus yang bermula pada Isnin, melibatkan pemeriksaan rumah ke rumah serta penangkapan.

Pihak berkuasa Israel memaklumkan Pejabat Penyelarasan Daerah Palestin bahawa sekurang-kurangnya 15 bangunan kediaman perlu dikosongkan menjelang operasi selama 48 jam yang dirancang oleh pasukan Israel. Kira-kira 75 orang telah dipindahkan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

TAG: Gaza, makanan, bantuan, GHF, tembakan, pembunuhan, tentera, PBB, Antonio Guterres, OCHA, WHO


MRBAR RAG LZA KLS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan