Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 17 Jun (Bernama) -- Di kawasan pergunungan Himalaya yang dilitupi salji dan berlereng curam di Nepal, tinggal satu daripada haiwan paling berharga dan terancam di dunia – harimau bintang salji – yang hidup harmoni dengan alam semula jadi.
Nepal, sebuah negara kecil tanpa laut yang terletak di antara China dan India, telah berjaya mengubah landskap pergunungannya menjadi habitat selamat dan mampan untuk kucing besar ini, yang kini berjumlah 397 ekor.
Negara di banjaran Himalaya itu adalah sebuah daripada beberapa negara di dunia di mana populasi harimau bintang salji yang unik itu stabil, menurut laporan terkini.
Laporan bertajuk “Status Populasi Harimau Bintang Salji di Nepal 2025” telah dikeluarkan oleh “National Trust for Nature Conservation” negara itu selepas menjalankan kajian saintifik menyeluruh.
Kajian itu dilaksanakan dengan sokongan teknikal dan kewangan daripada World Wide Fund for Nature (WWF) Nepal.
Pakar menggunakan pelbagai teknologi termasuk perangkap kamera dan analisis genetik sampel najis bagi mengesan jumlah spesies itu.
Nepal kini menjadi habitat kepada kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan populasi harimau bintang salji global, yang dianggarkan berjumlah sekitar 4,000 ekor.
Harimau bintang salji (Panthera uncia) dikategorikan sebagai spesies “Rentan” oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), menandakan keperluan mendesak untuk melindungi haiwan ini.
Pengurus Program National Trust for Nature Conservation, Dr Madhu Chetri berkata kejayaan Nepal dalam melindungi harimau bintang salji adalah hasil kerjasama erat komuniti setempat, kerajaan dan organisasi pemuliharaan.
Kerajaan Nepal bekerjasama dengan keluarga di kawasan pedalaman dengan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang mengalami kerugian ternakan serta membina kandang kalis pemangsa.
“Selain itu, penggabungan amalan tradisional seperti prinsip tanpa kekerasan dan penghormatan spiritual terhadap harimau bintang salji turut menyumbang kepada perlindungan spesies ini di kawasan pergunungan tinggi Nepal.
“Gabungan usaha ini memperlihatkan kepentingan pendekatan kerjasama dan sensitiviti budaya dalam menjayakan pemuliharaan harimau bintang salji di Nepal,” kata Madhu kepada Bernama dari ibu negara Nepal, Kathmandu.
Menurut WWF, harimau bintang salji mempunyai bulu putih kelabu tebal dengan tompok hitam besar yang membantu mereka menyamar dengan sempurna di kawasan pergunungan, sehingga sukar dikesan, sehingga mereka digelar “hantu gunung”.
Kucing besar ini kebanyakannya mendiami tiga kawasan pemuliharaan utama di Nepal – bahagian timur, tengah dan barat negara itu.
Di kawasan pergunungan, mangsa utama mereka termasuk biri-biri liar Argali, biri-biri biru, kambing gurun, marmot, “pika” dan arnab, menurut WWF.
“Mereka unik kerana mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran altitud tinggi yang ekstrem. Ciri fizikal dan tingkah laku khusus mereka bukan sahaja membolehkan mereka bertahan, malah memperlihatkan peranan penting mereka sebagai pemangsa utama dalam ekosistem,” kata Madhu.
Seperti hidupan liar lain di seluruh dunia, harimau bintang salji juga berdepan pelbagai ancaman.
Antaranya termasuk pemburuan haram, pembunuhan balas, persaingan dengan pemangsa lain untuk kawasan habitat, serta litupan salji yang semakin berkurangan.
Antaranya termasuk pemburuan haram, pembunuhan balas, persaingan dengan pemangsa lain untuk kawasan habitat, serta litupan salji yang semakin berkurangan.
Ancaman paling ketara adalah perubahan iklim, yang menurut laporan itu, boleh menyebabkan penyusutan sehingga 40 peratus kawasan habitat harimau bintang salji di Himalaya.
“Kewujudan harimau bintang salji penting bagi kesihatan ekosistem altitud tinggi. Mereka membantu mengawal populasi herbivor dengan memburu haiwan itu, sekali gus mengelakkan penggondolan akibat ragutan berlebihan yang boleh menyebabkan kehilangan tumbuh-tumbuhan dan hakisan tanah.
Kawalan ini menyokong kepelbagaian tumbuhan dan kesihatan keseluruhan ekosistem alpine yang turut memberi manfaat kepada pelbagai spesies lain serta habitatnya,” kata Madhu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial