Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 17 Jun (Bernama) -- Keperitan tragedi pada 16 Jan 2021 masih segar dalam ingatan penduduk apabila gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Sulawesi Barat, mengorbankan 105 nyawa, mencederakan ribuan orang dan menyebabkan kemusnahan besar di seluruh wilayah.
Empat tahun kemudian, para pegawai tempatan, anggota penyelamat kecemasan dan masyarakat kembali ke kawasan gempa, bukan untuk meratapi tragedi lalu tetapi bersedia menghadapi kemungkinan tragedi mungkin berulang.
Dalam simulasi berskala besar yang diadakan pada Isnin, wilayah itu menguji sistem tindak balas kecemasannya bagi menghadapi senario gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang melanda daerah pesisir Majene dan Mamuju, dengan jangkaan lebih 1,000 kematian dan 200,000 penduduk dipindahkan.
Latihan itu dikendalikan oleh Badan Mitigasi Bencana Nasional (BNPB) Indonesia dan melibatkan penyertaan pegawai kerajaan, anggota tentera dan polis, organisasi kemanusiaan serta komuniti tempatan untuk menguji kecekapan, koordinasi dan daya tahan.
Jurulatih kanan BNPB Apriyuanda G. Bayu Pradana berkata, aktiviti yang dijalankan termasuk “tabletop exercise” dan simulasi pos kawalan bertujuan mengukuhkan koordinasi antara agensi dalam sistem perintah kecemasan.
“Akhirnya, kita ingin menghasilkan cadangan bagi menambah baik dasar dan perancangan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sulawesi Barat terletak di sepanjang sesar tujah Mamuju yang aktif secara seismik, menjadikannya berisiko tinggi mengalami gempa bumi kuat dan tsunami.
Pemangku Setiausaha Wilayah Sulawesi Barat, Herdin Ismail berkata latihan itu mencerminkan komitmen bersama antara BNPB dan kerajaan wilayah untuk membudayakan kesedaran bencana serta memperkukuh kesiapsiagaan setempat selaku barisan hadapan pengurusan bencana.
“Kami berharap latihan ini membantu semua sektor memahami tanggungjawab masing-masing dan bertindak secara selaras dan pantas apabila berlaku kecemasan sebenar,” katanya.
Memandangkan Indonesia terletak di atas Lingkaran Api Pasifik yang aktif secara geologi, simulasi seperti ini bukan sahaja semakin kerap dilaksanakan, malah menjadi keperluan penting.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial