Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 16 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menegaskan bahawa negaranya tidak akan menyertai prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja, dan menekankan bahawa mekanisme dua hala kekal sebagai kaedah penyelesaian yang lebih diutamakan.
“Thailand tidak mengiktiraf bidang kuasa ICJ dan tidak akan mengambil bahagian dalam prosiding tersebut.
“Kerajaan yakin bahawa mekanisme dua hala, yang mencerminkan keikhlasan kedua-dua negara, merupakan penyelesaian yang berkesan dan menjanjikan,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet mengesahkan bahawa negaranya telah secara rasmi mengemukakan kes itu kepada ICJ berkaitan pertikaian sempadan di empat kawasan: Ta Moan Thom, Ta Moan Toch, Ta Krabei, dan kawasan Mum Bei.
Dalam kenyataan di media sosial pada Isnin, Hun Manet berkata Duta Besar Kemboja ke Belanda, Kimsour Sovannary, telah menyerahkan surat pemfailan kes itu kepada Pendaftar ICJ, Philippe Gautier.
Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu meningkat susulan pertembungan maut pada 28 Mei di wilayah Ubon Ratchathani, timur laut Thailand, dan wilayah Preah Vihear di utara Kemboja, yang dilaporkan mengakibatkan kematian seorang sarjan Kemboja berusia 48 tahun.
Thailand dan Kemboja telah lama terbabit dalam pertikaian berhubung sempadan darat sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan.
Mengulas mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) yang baru sahaja selesai diadakan di Phnom Penh, Paetongtarn berkata perbincangan berlangsung secara positif, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak.
Mesyuarat dua hari itu, yang diadakan selepas 12 tahun tertangguh, berakhir pada Ahad.
Pada hari yang sama, Kemboja telah mempelawa Thailand untuk menyelesaikan pertikaian sempadan mereka secara bersama di ICJ, dengan menyifatkannya sebagai pilihan terbaik bagi menamatkan kemelut berkenaan.
Menteri Kemboja yang bertanggungjawab terhadap Sekretariat Negara bagi Hal Ehwal Sempadan, Lam Chea berkata rujukan kepada ICJ akan memastikan penyelesaian yang adil dan tidak berpihak dalam kontroversi sempadan itu.
Lam Chea yang turut mempengerusikan mesyuarat JBC, memaklumkan bahawa keempat-empat kawasan pertikaian tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat JBC akan datang.
Thailand dijadual menjadi tuan rumah mesyuarat JBC seterusnya pada September 2025.
Sementara itu, Paetongtarn turut menegaskan bahawa kerajaan Thailand tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menutup pusat pemeriksaan sempadan Thailand-Kemboja.
Beliau menjelaskan bahawa langkah semasa hanya melibatkan pengawalseliaan waktu pembukaan dan penutupan pusat pemeriksaan, sebagaimana diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (NSC), yang telah memberikan kuasa kepada pihak tentera. Langkah itu, katanya, bertujuan mengelak risiko berkaitan pergerakan tentera dan penggunaan senjata jarak jauh oleh pihak Kemboja.
“Pelarasan sementara waktu operasi pusat pemeriksaan adalah perlu demi keselamatan orang awam. Langkah ini mungkin disemak semula sekiranya keadaan bertambah baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial