DUNIA > BERITA

Ketua IAEA Keluarkan Amaran Ketegangan Israel-iran Tingkatkan Risiko Kebocoran Radiasi Nuklear

16/06/2025 09:29 PM

ATHENS, 16 Jun (Bernama-Anadolu) -- Ketegangan ketenteraan antara Israel dan Iran meningkatkan risiko kebocoran radiasi nuklear dan melengahkan usaha mencegah pemilikan senjata nuklear, kata Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi pada Isnin.

Dalam kenyataan pembukaan semasa sesi tergempar agensi itu berhubung konflik Israel-Iran, Grossi memaklumkan kepada Lembaga Gabenor bahawa “tiada kerosakan tambahan dikesan di tapak Loji Pengayaan Bahan Api Natanz sejak serangan Israel pada Jumaat lepas,” lapor Anadolu Ajansi.

Beliau berkata paras keradioaktifan di luar tapak Natanz kekal tidak berubah dan berada pada tahap normal.

Grossi turut mengesahkan terdapat pencemaran radiologi dan kimia di dalam kemudahan Natanz.

Namun katanya, risiko ini boleh ditangani secara berkesan dengan langkah perlindungan yang sesuai.

“Tiada kerosakan dikesan di tapak Loji Pengayaan Bahan Api Fordow mahupun di reaktor air berat Khondab yang sedang dalam pembinaan. Loji Kuasa Nuklear Bushehr tidak menjadi sasaran atau terjejas akibat serangan baru-baru ini, begitu juga Reaktor Penyelidikan Tehran,” katanya.

Bagi tapak nuklear Isfahan, empat bangunan rosak dalam serangan Jumaat lepas: makmal kimia pusat, loji pengubahan uranium, loji pembuatan bahan api reaktor Tehran, serta kemudahan pemprosesan UF4 ke logam EU yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Grossi berkata beliau masih berhubung dengan para pemeriksa agensi di lapangan dan bersedia untuk melakukan lawatan serta berunding dengan semua pihak berkepentingan “bagi membantu memastikan perlindungan terhadap kemudahan nuklear serta penggunaan teknologi nuklear secara aman dapat diteruskan.”

Peningkatan konflik ketenteraan mengancam nyawa, meningkatkan kemungkinan berlakunya pelepasan radiasi dengan kesan serius terhadap manusia dan alam sekitar, serta melengahkan usaha penyelesaian diplomatik bagi memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear untuk jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan