DUNIA > BERITA

Polis Iran Tahan Dua Ejen Mossad Bersama Bahan Letupan Di Tehran

16/06/2025 05:35 PM

TEHRAN, 16 Jun (Bernama-IRNA) -- Polis Iran menahan dua ejen Mossad dalam dua operasi berasingan yang turut membawa kepada rampasan sejumlah besar bahan letupan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Jurucakap Markas Pemerintahan Polis Iran Sa’eed Montazer al-Mahdi berkata pada Ahad bahawa kedua-dua ejen berkenaan telah dikenal pasti dan ditahan di Fashafuyeh di Daerah Ray, wilayah Tehran.

Menurut beliau, lebih 200 kilogram bahan letupan serta peralatan untuk 23 dron, pelancar dan peralatan lain telah dirampas daripada suspek. Sebuah trak pikap Nissan turut disita.

Rejim Israel memulakan serangan ke dalam wilayah Iran, termasuk ke atas bangunan kediaman, dalam tindakan pencerobohan tanpa provokasi semalaman pada 13 Jun.

Sejak itu, ejen agensi perisikan Israel dilaporkan cuba melancarkan sabotaj di dalam Iran. Dron kecil yang membawa bahan letupan telah digunakan untuk menyerang beberapa lokasi.

Terdahulu pada Ahad, dua lagi ejen Mossad turut ditahan di Daerah Savojbolagh, Wilayah Alborz yang bersempadan dengan Wilayah Tehran.

Iran kini melancarkan serangan balas jauh ke dalam wilayah Israel dengan menyasarkan Tel Aviv, Baitulmuqaddis dan Haifa serta beberapa kawasan lain menggunakan peluru berpandu balistik dan dron. Aktiviti seharian di wilayah yang diduduki itu lumpuh apabila penduduk Israel terpaksa menghabiskan masa seharian di tempat perlindungan bom bawah tanah.

-- BERNAMA-IRNA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan