JAKARTA, 15 Jun (Bernama) -- Pertikaian wilayah membabitkan empat pulau kecil di barat Indonesia kini dibawa ke peringkat tertinggi pentadbiran negara, apabila Presiden Prabowo Subianto campur tangan bagi meredakan ketegangan antara wilayah Aceh dan Sumatera Utara.
Pulau terlibat ialah Pulau Mangkir Gadang, Pulau Mangkir Ketek, Pulau Lipan dan Pulau Panjang yang menjadi isu selepas Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan keputusan pada April 2025, mengesahkan keputusan 2022 untuk memindahkan pentadbiran pulau tersebut daripada Aceh Singkil kepada Tapanuli Tengah di Sumatera Utara.
Langkah itu mencetuskan bantahan daripada komuniti dan kumpulan awam Aceh, termasuk Persatuan Pelajar Aceh Wilayah Jakarta Raya, yang mendesak keputusan itu dibatalkan dan kementerian mengakui wujudnya kesilapan pentadbiran.
Gabenor Aceh Muzakir Manaf, yang juga dikenali sebagai Mualem, berhujah bahawa pulau berkenaan sememangnya milik Aceh berdasarkan rekod sejarah dan pentadbiran, serta menyatakan pertikaian itu mungkin berkait dengan kepentingan sumber luar pesisir.
Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad, mengesahkan pada Sabtu menerusi kenyataan kepada media tempatan bahawa Presiden Prabowo bersetuju untuk menangani isu tersebut secara peribadi.
“Presiden telah mengambil alih isu pertikaian sempadan pulau ini,” kata Sufmi yang juga orang kepercayaan Prabowo, seperti dilaporkan agensi berita nasional Antara, sambil menambah bahawa keputusan dijangka diumumkan minggu hadapan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian mempertahankan langkah pengelasan semula itu dengan menekankan bahawa rekod sejarah menunjukkan pertikaian ke atas pulau itu telah wujud sejak 1928.
Beliau mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pihak, namun menegaskan bahawa saluran undang-undang seperti Mahkamah Tata Usaha Negara (PTUN) masih boleh digunakan.
Awal bulan ini, Gabenor Sumatera Utara Bobby Nasution mengunjungi Aceh untuk membincangkan pendekatan kerjasama dalam pengurusan pulau tersebut, termasuk peluang pelancongan dan pembangunan ekonomi bersama.
Mualem, bekas komander Gerakan Aceh Merdeka (GAM), menyambut baik lawatan Bobby namun menyerahkan rundingan lanjut kepada pegawai kerajaan negeri kerana komitmen sedia ada di Aceh Barat Daya.
Pertikaian ini sekali lagi mencetuskan isu lama di Aceh, sebuah wilayah berstatus autonomi khas, yang hal ehwal pentadbiran dan sempadan wilayah kekal sensitif meskipun selepas perjanjian damai 2005.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial