DUNIA > BERITA

Projek Jambatan Darat Chumphon-Ranong Dilihat Sebagai Alternatif Munasabah Berbanding Terusan Kra

11/06/2025 05:33 PM

Oleh Kenny Teng and Tuwadaniya Meringing

BANGKOK, 11 Jun (Bernama) -- Projek mega jambatan darat Chumphon-Ranong yang dicadangkan di Thailand kini dilihat semakin munasabah dan berdaya saing untuk wilayah selatan negara itu, sekali gus menjadi alternatif yang praktikal kepada projek Terusan Kra yang belum direalisasikan.

Projek mega bernilai 1 trilion baht (US$29 bilion) ini dirancang untuk menghubungkan Wilayah Chumphon di Teluk Thailand dengan Wilayah Ranong di Laut Andaman melalui koridor sepanjang 120 kilometer yang merangkumi lebuh raya dan landasan kereta api, serta dilengkapi pelabuhan laut.

Ia dijadual siap menjelang 2030.

Projek jambatan darat itu juga menjadi komponen utama bagi Koridor Ekonomi Selatan (SEC) Thailand, iaitu pelan pembangunan menyeluruh yang bertujuan menjadikan rantau ini sebagai hab logistik dan maritim utama negara.

Pakar sains politik Thailand, Prof Madya Panitan Wattanayagorn dari Universiti Chulalongkorn, berkata projek jambatan darat itu lebih praktikal mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Beliau mengakui cadangan seperti Terusan Kra telah lama dibincangkan kerana potensinya yang besar untuk menjana pendapatan serta menjadikan wilayah selatan Thailand sebagai riviera baharu yang menggabungkan industri, pengangkutan dan pelancongan.

“Jambatan darat ini jauh lebih praktikal, dengan rangkaian pengangkutan yang sudah dalam pembinaan.

“Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi semasa, jambatan darat ini jauh lebih munasabah,” katanya kepada Bernama.

Terusan Kra yang dicadangkan, sepanjang 102 hingga 135 kilometer yang menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Thailand telah diluluskan oleh Senat Thailand pada 2005 tetapi masih belum direalisasikan dan berulang kali ditangguhkan kerana kos yang tinggi, kebimbangan alam sekitar serta sensitiviti geopolitik.

Awal tahun ini, Persatuan Kajian dan Pembangunan Terusan Thai menggesa kerajaan melakukan kajian kebolehlaksanaan baharu untuk Terusan Kra, sambil menekankan bahawa pembinaannya boleh mewujudkan jutaan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Pensyarah di Universiti Prince of Songkhla, Piyachot Intranivas, berkata meskipun Terusan Kra berpotensi mencipta peluang ekonomi besar di selatan Thailand, beliau meragui kemampuan negara itu untuk membiayai dan menguruskan projek itu.

“Kerajaan Thailand perlu menstabilkan pentadbiran dan memastikan pembiayaan mencukupi sebelum merancang untuk meluluskan projek mega seperti ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan