SEOUL, 10 Jun (Bernama-Yonhap) -- Pendakwa raya Korea Selatan pada Selasa mendakwa dua individu yang dituduh memeras ugut bintang bola sepak negara itu, Son Heung-min, dengan dakwaan kehamilan palsu untuk mendapatkan wang, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pejabat Pendakwa Raya Daerah Pusat Seoul berkata seorang wanita berusia 20-an didakwa atas pertuduhan pemerasan dan cubaan memeras ugut, manakala seorang lelaki berusia 40-an didakwa atas cubaan memeras ugut. Kedua-duanya telah ditahan.
Wanita itu, yang dikenali dengan nama keluarga Yang, didakwa mendekati kapten Tottenham Hotspur itu pada Jun tahun lepas dengan mendakwa dia hamil anak Son dan menuntut wang sebagai balasan untuk berdiam diri.
Dia dilaporkan menghantar imej imbasan ultrasound seorang bayi kepada Son dan menerima lebih 300 juta won (US$215,000).
Siasatan mendapati Yang membelanjakan hasil jenayah itu untuk membeli barangan mewah dan kemudian cuba memeras ugut tambahan 70 juta won daripada Son bersama teman lelakinya ketika itu, seorang lelaki bernama Yong, tetapi gagal.
Polis pada awalnya mengesyaki lelaki itu bertindak sendirian memeras ugut Son, namun pihak pendakwa raya kemudian menemui petunjuk bahawa Yang turut terlibat dalam cubaan pemerasan itu.
Son dipercayai menyerahkan wang itu kepada Yang kerana bimbang reputasi sosial dan kerjayanya sebagai atlet akan terjejas sekiranya perkara itu didedahkan kepada umum.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial