DUNIA > BERITA

Madinah Urus Kepulangan Jemaah Melalui Perlepasan Udara Selepas Selesai Ibadah Haji

09/06/2025 06:14 PM

MADINAH, 9 Jun (Bernama-SPA) -- Agensi kerajaan di Wilayah Madinah mula menguruskan kepulangan jemaah haji ke negara masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, selepas mereka menunaikan ibadah haji tahun ini dengan lancar dan tenang, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Selepas musim haji, sejumlah besar jemaah tiba di Madinah untuk menunaikan solat di Masjid Nabawi dan memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW serta dua sahabat baginda. Satu program diatur bagi memudahkan pemindahan mereka dari tempat penginapan ke lapangan terbang.

Program ini dipantau oleh Jawatankuasa Haji dan Ziarah di wilayah itu serta pihak berkaitan bagi memastikan keberangkatan penerbangan ke pelbagai destinasi berjalan dengan teratur dan tepat pada masanya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz mencatat kejayaan ketara sepanjang fasa prahaji dengan menerima ketibaan penerbangan haji secara lancar dan cekap.

Sepanjang tempoh ketibaan, lapangan terbang ini menerima 719,400 jemaah, iaitu 49 peratus daripada keseluruhan jemaah yang tiba melalui udara ke Arab Saudi bagi musim haji ini.

Jemaah tiba melalui 1,910 penerbangan dari 196 bandar di 53 negara, yang dikendalikan oleh 65 syarikat penerbangan, bermula dari 1 Zulkaedah. Jumlah ini mewakili 60 peratus daripada keseluruhan penerbangan haji yang dikendalikan oleh lapangan terbang di Arab Saudi semasa fasa ketibaan.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan