MAKKAH, 8 Jun (Bernama) -- Arab Saudi menggunakan teknologi robotik canggih dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong jutaan jemaah Haji pada musim ini, menurut kenyataan Presidensi Am bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Kerajaan mengintegrasikan pelbagai sistem pintar bagi meningkatkan keselamatan, kebolehcapaian dan keberkesanan dalam melaksanakan ibadah, dengan Masjidil Haram di Makkah menjadi pusat utama inovasi ini.
Antara kemajuan terkini adalah penggunaan robot generasi kedua "Manarat Al-Haramain".
Diletakkan di beberapa lokasi di sekitar masjid dan perkarangan, robot dikuasakan AI ini menawarkan perkhidmatan fatwa secara serta-merta dalam 15 bahasa, memberikan panduan agama masa nyata melalui suara dan teks.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan agar seiring dengan perkembangan transformasi digital global sambil memperkayakan perjalanan rohani para jemaah.
Justeru itu, AI dimanfaatkan untuk meningkatkan komunikasi antara institusi keagamaan dan jemaah yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Selain panduan agama, robotik juga digunakan untuk menambah baik penjagaan kesihatan dan logistik perkhidmatan di tanah suci.
Di Pusat Perubatan Raja Abdullah di Makkah, Kementerian Kesihatan memperkenalkan robot pembedahan yang mampu melakukan prosedur urologi, onkologi, toraks dan gastrousus yang kompleks.
Sistem yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Fahd Al-Jalajel ini dijangka dapat mengurangkan masa pemulihan dan meningkatkan ketepatan pembedahan, khususnya semasa musim Haji.
Sementara itu, "Robot Air Zamzam", yang diperkenalkan ketika pandemik COVID-19, terus mengedarkan air zamzam dalam botol.
Setiap robot mampu mengagihkan kira-kira 30 botol setiap pusingan, beroperasi sehingga lapan jam dengan jeda 20 saat antara penghantaran bagi mengelakkan perlanggaran dan memastikan pergerakan orang ramai yang lancar.
Presidensi memaklumkan robot Zamzam memperoleh hak paten dan pensijilan CE Eropah, mengesahkan keselamatan dan piawaian operasinya.
Robot pintar juga telah digunakan sebelum ini untuk mengedarkan naskhah cetakan al-Quran kepada para pengunjung di Masjidil Haram.
"Inovasi-inovasi ini mencerminkan visi lebih besar Kerajaan untuk mengintegrasikan teknologi terkini dalam perkhidmatan agama dan meningkatkan pengalaman keseluruhan ibadah Haji," menurut Presidensi.
Penggunaan AI dan robotik adalah sebahagian daripada strategi Arab Saudi untuk menerajui pembangunan infrastruktur agama dan perkhidmatan digital di peringkat global, selaras dengan objektif Wawasan 2030 negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial