BOGOTA, 8 Jun (Bernama-Anadolu) -- Presiden Colombia Gustavo Petro, mengecam cubaan bunuh calon presiden pembangkang, Miguel Uribe Turbay yang ditembak di kepala ketika menghadiri acara kempen di Bogota pada Sabtu.
Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, Petro menyeru agar siasatan segera dan menyeluruh dijalankan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Tiada sumber atau masa yang harus disia-siakan, tidak satu peso atau satu detik tenaga pun, untuk didedikasikan sepenuhnya bagi mencari dalang di sebalik serangan ini.
“Apapun pandangan dan pendiriannya dalam politik, beliau pertama sekali ialah seorang manusia dan mempunyai hak mutlak untuk hidup,” katanya.
Uribe, 39, dilaporkan ditembak oleh seorang penyerang yang menghampirinya dari belakang dan melepaskan enam das tembakan, dua daripadanya mengenai beliau.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan Uribe berlumuran darah di bahagian kepala dan belakang, ketika pasukan keselamatannya segera membawanya ke dalam kenderaan dan menghantarnya ke hospital.
Hospital Fundacion Santa Fe, tempat Uribe menerima rawatan, mengesahkan bahawa beliau dimasukkan dalam keadaan kritikal dan sedang menjalani prosedur bedah saraf serta rawatan vaskular periferi.
“Kami menerima kemasukan Miguel Uribe Turbay di Jabatan Kecemasan kami. Beliau sedang menerima rawatan daripada pasukan pakar kami,” menurut kenyataan itu.
Isteri Uribe, Maria Claudia Tarazona membuat rayuan penuh emosi di akaun rasmi X beliau, meminta orang ramai untuk mendoakan kesembuhan suaminya.
“Ketika ini, Miguel sedang berjuang untuk hidup. Marilah kita memohon kepada Tuhan untuk membimbing tangan para doktor yang merawatnya,” tulisnya.
Datuk Bandar Bogota, Carlos Fernando Galan mengesahkan penahanan suspek, manakala Pejabat Peguam Negara kemudian mengenal pasti penyerang sebagai remaja berusia 15 tahun yang memiliki pistol Glock 9mm.
Menteri Pertahanan Colombia, Pedro Sanchez berkata suspek kini dalam tahanan dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat pihak lain yang terlibat.
“Siasatan diteruskan dan kami akan menegakkan keadilan sepenuhnya. Tiada ruang untuk kezaliman dibiarkan,” katanya di X.
Serangan itu mendapat kecaman meluas daripada pemimpin di seluruh Amerika Latin, termasuk Presiden Chile, Ecuador dan Mexico.
-- BERNAMA-ANADOLU
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan