DUNIA > BERITA

Sektor Agro-makanan Malaysia Raih Perjanjian Antarabangsa Bernilai RM17 Juta

31/05/2025 11:39 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 31 Mei (Bernama) -- Para pempamer Malaysia berjaya memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM17 juta semasa THAIFEX-Anuga Asia 2025, pameran perdagangan makanan dan minuman terulung di Asia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa produk Malaysia diiktiraf dan diterima baik di peringkat antarabangsa.

“Perjanjian ini dengan rakan dari Thailand dan Amerika Syarikat bukan sekadar urusan perniagaan — ia mencerminkan keyakinan dunia yang semakin meningkat terhadap produk Malaysia.

“Usahawan kita telah membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, mereka mampu bersaing dan cemerlang di pentas global,” katanya selepas merasmikan Pavilion Malaysia di sini, Jumaat.

Mohamad, yang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke Thailand, berkata kementeriannya sentiasa menyokong usahawan tempatan menerusi inisiatif strategik, agar mereka memenuhi piawaian global tanpa mengabaikan kualiti serta keaslian produk Malaysia.

“Visi kita jelas: kita mahu produk Malaysia menjadi jenama yang dikenali di seluruh dunia. Dengan komitmen para petani, pengeluar makanan dan agensi kerajaan, saya yakin kita akan mencipta lebih banyak kejayaan dalam tahun-tahun mendatang,” katanya.

Beliau turut mengundang pembeli antarabangsa untuk meneroka pelbagai produk makanan berkualiti tinggi Malaysia yang dipamerkan di pavilion berkenaan.

Prestasi memberangsangkan di THAIFEX-Anuga Asia 2025 mengukuhkan lagi pengaruh Malaysia yang kian berkembang dalam sektor makanan dan minuman global, katanya.

Mohamad berkata, dengan sokongan berterusan kerajaan, kempen promosi yang agresif serta kerjasama industri, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk memperluaskan jejaknya sebagai pengeksport utama produk agro-makanan di Asia Tenggara dan seterusnya.

Sementara itu, Kaunselor di Pejabat Perwakilan Pertanian (Bangkok), Shaiful Naszri Abdul Wahid berkata produk agro-makanan Malaysia semakin mendapat pengiktirafan hasil pematuhan terhadap piawaian antarabangsa yang ketat, termasuk pensijilan halal, amalan pertanian organik dan sumber mampan.

“Dengan memanfaatkan lokasi strategik seperti Thailand sebagai hab serantau, kita dapat meningkatkan keterlihatan Malaysia dan menjalin kerjasama perdagangan jangka panjang melepasi rantau Asia Tenggara,” katanya.

Seramai 137 pempamer Malaysia mempamerkan pelbagai produk berkualiti tinggi di Pavilion Malaysia yang menjadi tumpuan pembeli antarabangsa sepanjang penganjuran pameran perdagangan itu di IMPACT Muang Thong Thani dari 27 hingga 31 Mei.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan