LONDON, 30 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Liverpool bersetuju untuk melepaskan Trent Alexander-Arnold kepada Real Madrid pada 1 Jun, lapor PA Media/dpa.
Juara baharu Liga Perdana Inggeris itu mengesahkan yang perjanjian dicapai untuk pemain itu menyertai Real Madrid sebelum kontraknya bersama Liverpool tamat pada 30 Jun. Real pula menyatakan langkah ini akan membolehkan pemain antarabangsa England itu beraksi bersama kelab Sepanyol itu pada kejohanan Piala Dunia Kelab musim panas ini.
Liverpool turut mengesahkan yang bayaran diterima bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu lebih awal, iaitu pada awal Jun, berbanding tarikh asal 1 Julai. Real Madrid juga mengumumkan yang Alexander-Arnold bersetuju dengan kontrak selama enam tahun.
“Alexander-Arnold menyertai akademi kelab pada usia enam tahun dan mengembangkan kariernya melalui sistem pembangunan sebelum membuat penampilan kompetitif sulung pada Oktober 2016.
“Beliau kini meninggalkan Anfield selepas membuat 354 penampilan dan menjaringkan 23 gol untuk kelab, selain meraih lapan kejuaraan utama bersama rakan sepasukan, termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab FIFA, Piala Super UEFA, Piala FA dan dua Piala Liga.
“Alexander-Arnold meninggalkan Liverpool FC dengan penghargaan dan kelab berterima kasih atas sumbangannya terhadap semua kejayaannya.”
-- BERNAMA-PA Media/dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial