DUNIA > BERITA

PM Anwar Tekankan Peranan Penting Vietnam Dalam ASEAN

30/05/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama-VNA) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Vietnam sebagai anggota yang sangat penting dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), ketika ditemu bual wartawan Agensi Berita Vietnam (VNA) di Kuala Lumpur.

Anwar berkata Malaysia dan beliau secara peribadi amat menghargai kemajuan kerjasama dua hala yang dicapai bersama Vietnam.

Mengulas peranan Vietnam dalam blok itu, Anwar memaklumkan bahawa beliau sering berhubung dengan pemimpin Vietnam untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan ASEAN, termasuk dasar tarif baharu Amerika Syarikat (AS) dan situasi di Myanmar.

Malaysia dan Vietnam kini bekerjasama rapat dalam menangani isu-isu tersebut, katanya sambil menambah bahawa Vietnam menyokong inisiatif Malaysia untuk memajukan Grid Kuasa ASEAN.

Menggambarkan hubungan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara, terutamanya selepas ia ditingkatkan kepada perkongsian strategik komprehensif pada November 2024, Anwar berkata sudah ada keputusan yang jelas dalam beberapa bidang. Beliau memetik kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala yang dipertingkatkan, termasuk kerjasama antara syarikat minyak dan gas negara kedua-dua negara.

Menyentuh cabaran yang masih wujud, beliau yakin kedua-dua negara sentiasa bersedia mencari penyelesaian bersama.

Pakar Malaysia turut berkongsi pandangan mengenai peranan Vietnam yang semakin menyerlah dalam ASEAN.

Bercakap kepada VNA, Dr Oh Ei Sun, Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, menyifatkan Vietnam sebagai peserta yang dinamik dan berkesan semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri Vietnam, dalam ucapannya di sidang kemuncak itu, menggariskan tiga fokus utama, dengan penekanan yang kuat terhadap keperluan bagi ASEAN untuk mengamalkan pemikiran pembangunan berasaskan keterangkuman.

Menurutnya, Vietnam telah menunjukkan lonjakan ketara dalam tempoh dua hingga tiga dekad, daripada pemain pinggiran kepada anggota utama yang semakin berpengaruh dalam ASEAN. Ini membuktikan bahawa semua anggota, tanpa mengira tahap pembangunan, mampu menyumbang secara aktif jika diberi sokongan sewajarnya.

Beliau turut menekankan peranan penting Vietnam dalam aspek keterhubungan serantau, memandangkan lokasinya yang strategik dalam rangkaian perkapalan Asia Tenggara dan potensinya untuk menyumbang kepada jaringan kereta api rantau ini.

Dari segi daya tahan, beliau memuji pendekatan Vietnam yang menepati masa, terutamanya berkaitan keupayaannya dalam pengeluaran beras dan populasi muda yang besar. Katanya, Vietnam berpotensi menjadi pengeksport utama kepada negara ASEAN lain termasuk Malaysia, dan menawarkan banyak pengajaran dalam aspek keselamatan makanan dan tenaga.

Pakar itu juga menyifatkan ucapan Perdana Menteri Vietnam yang menekankan keterangkuman, keterhubungan dan daya tahan sebagai relevan serta bermanfaat kepada seluruh anggota ASEAN.

Berhubung hubungan Malaysia-Vietnam, Dr Oh menekankan bahawa pemimpin kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada November lalu, dan menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat pada masanya, dengan hubungan tersebut kini menyaksikan banyak perkembangan positif.

Secara khusus, semakin ramai pelajar Vietnam melanjutkan pengajian di universiti di Malaysia; perdagangan dua hala juga menunjukkan peningkatan; kedua-dua negara turut bekerjasama dengan berkesan dan menyumbang kepada pembangunan ASEAN. Lebih penting lagi, kedua-dua negara menyokong kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN serta membantu membangunkan ekonominya.

Sementara itu, pakar hal ehwal luar dan keselamatan dari Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat turut menyuarakan pandangan sama, menyifatkan Vietnam mempunyai pengaruh positif yang besar dalam pembangunan ASEAN menerusi sumbangannya dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata Vietnam kini aktif memacu peralihan tenaga, transformasi digital dan keselamatan makanan, sekali gus memberi sokongan kepada negara anggota lain serta memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia.

Chong berkata peranan Vietnam dalam pembangunan dan pembentukan ASEAN yang lebih kukuh, inklusif dan mampan amat jelas, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara itu yang pesat, peningkatan taraf hidup rakyat dan hala tuju ke arah ekonomi digital, ekonomi hijau dan pembangunan mampan.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Vietnam akan muncul sebagai antara negara terkemuka dalam ASEAN dan bersama anggota lain termasuk Malaysia, akan terus memacu agenda ASEAN yang lebih makmur, inklusif, bersatu, kestabilan dan keselamatan.

-- BERNAMA-VNA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan