LONDON, 29 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Selebriti terkenal termasuk Dua Lipa, Gary Lineker dan Benedict Cumberbatch menggesa Perdana Menteri Britain Keir Starmer untuk menggantung penjualan senjata kepada Israel ketika konflik di Gaza masih berterusan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lebih 300 pelakon, pemuzik, aktivis dan individu lain menandatangani sepucuk surat terbuka yang mendesak perdana menteri agar “mengambil tindakan segera untuk menghentikan penglibatan UK dalam kekejaman di Gaza”.
Selain mendesak agar penjualan senjata UK kepada Israel dihentikan, kumpulan itu juga menggesa Starmer agar “menggunakan segala cara yang ada” untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke wilayah itu dan “membuat komitmen kepada kanak-kanak Gaza” bahawa beliau akan merundingkan “gencatan senjata serta-merta dan berkekalan”.
Antara yang menandatangani surat itu termasuk Lineker, yang melepaskan tugasnya sebagai penyampai program bola sepak Match Of The Day awal bulan ini susulan kontroversi berkaitan satu hantaran media sosialnya mengenai konflik di Gaza.
Turut serta ialah pelakon Benedict Cumberbatch dan Brian Cox, bintang Bridgerton Nicola Coughlin, penyanyi Paloma Faith dan Annie Lennox, serta mangsa terselamat Holocaust Stephen Kapos.
Josie Naughton pengasas badan amal Choose Love yang menganjurkan surat itu berkata: “Kata-kata tidak akan menyelamatkan nyawa kanak-kanak Palestin yang sedang dibunuh, kata-kata tidak akan mengisi perut mereka yang kosong.
“Kita perlukan tindakan daripada Keir Starmer sekarang. Ini termasuk menghentikan penjualan senjata dan memastikan pertubuhan kemanusiaan yang sah boleh menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza. Ia bermakna melakukan segala yang mungkin untuk menghentikan kekejaman ini.”
Surat itu menyusul selepas Tel Aviv memutuskan untuk menyambung semula serangan ketenteraan di Gaza minggu lalu.
Menteri UK mengutuk keputusan itu menggantung rundingan perdagangan dengan Israel, mengenakan sekatan terhadap peneroka Tebing Barat dan memanggil duta Israel, sementara Starmer sendiri menggesa Netanyahu menghentikan serangan terbabit.
Perdana Menteri turut menyifatkan situasi di Gaza sebagai “tidak tertanggung” dan memberi amaran mengenai “prospek kebuluran” akibat kekurangan bantuan kemanusiaan.
Kerajaan UK menggantung beberapa lesen eksport senjata ke Israel, namun aktivis menuntut langkah lebih tegas termasuk pengharaman menyeluruh, termasuk komponen untuk jet pejuang F-35.
Namun, kerajaan menyatakan bahawa menghentikan eksport alat ganti F-35 tidak boleh dilakukan kerana UK adalah sebahagian rangkaian bekalan global dan tidak dapat mengawal ke mana alat-alat itu dihantar.
Jurucakap kerajaan berkata: “Kami menentang keras peluasan operasi ketenteraan di Gaza dan menggesa kerajaan Israel agar menghentikan serangan serta-merta dan membenarkan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan.
“Penafian bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk awam Gaza adalah tidak boleh diterima dan berisiko melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
“Tahun lalu, kami menggantung lesen eksport ke Israel untuk barangan yang digunakan dalam operasi ketenteraan di Gaza dan terus menolak lesen untuk barangan ketenteraan yang boleh digunakan Israel dalam konflik ketika ini.
“Kami menggesa semua pihak agar segera bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dan berusaha ke arah keamanan yang berkekalan dan mampan.”
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial