DUNIA > BERITA

Perjanjian Pembayaran Digital Perkukuh Kerjasama Fintek Malaysia-Algeria

29/05/2025 07:17 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 29 Mei (Bernama) -- Sebuah syarikat teknologi kewangan (fintek) Malaysia telah menjalin kerjasama dengan sebuah konglomerat Algeria untuk melancarkan platform pembayaran digital di Algeria, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam kerjasama fintek antara Malaysia dan Algeria.

BerryPay dari Malaysia dan DIGITEC, anak syarikat kepada Kumpulan ABD Invest Algeria, baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan platform penyelesaian pembayaran yang disesuaikan dengan keperluan pengguna di Algeria.

Perjanjian itu ditandatangani oleh pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BerryPay, Azrin Hadi Abdullah dan Ketua ICT serta Strategi DIGITEC, Bousbiaa Abdelhak dalam satu majlis di Algiers, Algeria, disaksikan Duta Besar Malaysia ke Algeria, Rizany Irwan Muhamad Mazlan.

“MoU ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama fintek Malaysia-Algeria,” kata Rizany kepada Bernama.

Usaha sama yang dilancarkan dengan penglibatan BerryPay itu akan menawarkan perkhidmatan melalui aplikasi mudah alih yang mesra pengguna.

Ia dijangka dapat memperluas keterangkuman kewangan, memperbaiki aliran kiriman wang rentas sempadan serta menyokong pertumbuhan sistem pembayaran domestik dan e-dagang.

Rizany berkata meskipun Algeria masih berada di peringkat awal pembangunan kewangan digital, negara itu sedang menunjukkan kemajuan ketara dalam memperluas kaedah pembayaran elektronik dan perkhidmatan perbankan digital.

Beliau berkata usaha berterusan Algeria untuk memperkukuh infrastruktur perbankan digitalnya, termasuk pengenalan rangka kerja kawal selia oleh Bank of Algeria bagi bank digital dan penyedia perkhidmatan pembayaran, adalah langkah ke arah mewujudkan ekosistem kewangan yang selamat dan tersusun.

“Kami menggalakkan syarikat fintek Malaysia untuk meneroka peluang di Algeria dan mencari ruang kerjasama yang sesuai,” kata Rizany.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan