LONDON, 28 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Google kini berdepan tuntutan undang-undang bernilai £25 bilion (US$33.7 bilion) di United Kingdom atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam pasaran pengiklanan carian dalam talian.
Tuntutan itu mendakwa perjanjian Google dengan pengeluar peranti mudah alih untuk menjadikan Google Search sebagai enjin carian lalai pada peranti mereka telah menyebabkan harga pengiklanan meningkat bagi pengiklan di UK.
Tuntutan tersebut diketuai oleh Roger Kaye KC, bekas timbalan hakim Mahkamah Tinggi, dan telah difailkan di Tribunal Rayuan Persaingan (CAT). Ia mendakwa tindakan Google yang melanggar undang-undang telah menjejaskan antara 500,000 hingga 1.5 juta pengiklan di UK, mengakibatkan “harga yang berlebihan dan tidak adil” untuk iklan.
Ia menuntut pampasan bagi semua pengiklan yang membayar kepada Google untuk iklan carian dari 1 Jan 2011 hingga kini, dengan anggaran jumlah pampasan sehingga £25 bilion.
Tuntutan itu berhujah bahawa perjanjian Google dengan pengeluar telefon dan pengendali rangkaian untuk menetapkan enjin carian Google sebagai pilihan lalai pada produk mereka membolehkannya mengekalkan dominasi besar dalam pasaran carian, dan seterusnya mengenakan caj lebih tinggi.
Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu turut berdepan tuntutan undang-undang serupa di CAT berhubung perniagaan iklan cariannya, dan seorang hakim di AS sebelum ini memutuskan bahawa Google menjalankan monopoli dalam carian.
Syarikat itu kini menentang cadangan bahawa ia mungkin diperlukan untuk memecahkan empayar digitalnya dan menjual sebahagian daripada perniagaannya, seperti pelayar web Chromenya, sebagai sebahagian daripada penyelesaian dalam kes itu.
Kaye berkata: “Kes ini menandakan langkah penting dalam mengembalikan landskap yang adil dan kompetitif untuk semua pengiklan.
“Memonopoli ruang iklan hingga ke tahap penyalahgunaan tidak boleh dibiarkan berterusan.”
Ketua bahagian persaingan di firma guaman KP Law, Duncan Hedar, yang mewakili Kaye, berkata: “Berbeza dengan kes-kes terdahulu di UK, Kaye KC mengambil langkah seterusnya dengan menuntut pampasan sewajarnya kepada sejumlah besar perniagaan yang terpaksa menanggung kesan daripada penyalahgunaan kuasa oleh Google.
“Tindakan menyalahi undang-undang ini telahpun dibuktikan oleh Suruhanjaya Eropah dan mahkamah di AS, dan kini tiba masanya semua pengiklan UK yang terkesan diberikan pampasan yang setimpal terhadap kerugian kewangan mereka.”
Google telah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial