DUNIA > BERITA

Perancis, Malaysia Nikmati Hubungan Erat Yang Semakin Berkembang - Duta Cruau

13/05/2025 06:48 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Perancis dan Malaysia kini menikmati hubungan erat yang semakin berkembang, dipacu oleh momentum baharu serta kerjasama yang semakin mendalam, kata Duta Besar Perancis ke Malaysia Axel Cruau.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa kedua-dua negara akan terus mengukuhkan trajektori positif ini, terutama selepas penyambungan semula penerbangan terus Malaysia Airlines antara kedua-dua negara pada Mac lepas.

“Saya amat berharap akan ada lebih banyak interaksi dan lawatan antara pemimpin kedua-dua negara. Perancis bersedia menawarkan lebih banyak penyelesaian untuk memenuhi keperluan Malaysia,” katanya dalam program "The Nation - Diplomatic Dispatch" terbitan Bernama TV yang disiarkan pada Selasa.

“Perancis mahu menjadi rakan sejati Malaysia. Saya rasa kita sudah pun menjadi rakan dalam beberapa bidang utama,” katanya lagi dalam temu bual tersebut.

Bercakap kepada Bernama selepas program itu, Cruau berkata sebelum penerbangan terus itu disambung semula, penumpang dari Perancis terpaksa transit di Amsterdam atau Singapura untuk ke Malaysia, yang mengambil masa lebih lama.

“Kini, penerbangan terus dari Perancis ke Malaysia sentiasa penuh. Selain pelancongan, ia sangat membantu golongan ahli perniagaan,” katanya sambil menekankan kesan lebih luas terhadap hubungan ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Memandang ke hadapan, Cruau berharap pemimpin Perancis dan Malaysia dapat memperdalam perbincangan antara kedua-dua negara dalam aspek “hubungan rakyat dengan rakyat, ketenteraan dengan ketenteraan, latihan, perolehan dan kelengkapan.”

Menyentuh tentang hubungan antara rakyat kedua-dua negara, beliau berkata Hari Inovasi Perancis yang menumpukan kepada kepintaran buatan (AI) akan diadakan bulan depan di Malaysia, manakala acara Gastronomi Perancis pula dijadualkan pada Oktober.

Beliau menyifatkan acara melibatkan rakyat kedua-dua negara sebagai “elemen kecil” yang menyumbang kepada pembinaan hubungan kukuh dan stabil antara Perancis dan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan