DUNIA > BERITA

China Alu-alukan Perjanjian Gencatan Senjata Antara India Dan Pakistan

13/05/2025 04:34 PM

BEIJING, 13 Mei (Bernama-CMG) -- Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian pada Isnin berkata China mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara India dan Pakistan, kerana ia bukan sahaja sesuai dengan kepentingan asas kedua-dua negara itu untuk jangka masa panjang, malah bermanfaat bagi keamanan dan kestabilan serantau.

Untuk rekod, India dan Pakistan mencapai perjanjian pada 10 Mei, dan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta.

Lin Jian menyatakan bahawa sejak hubungan antara India dan Pakistan menjadi tegang, China mengekalkan komunikasi rapat dengan pelbagai pihak berkaitan, menyeru kedua-dua negara India dan Pakistan supaya bertenang bagi mengelakkan situasi daripada meruncing.

Menurut beliau, Menteri Luar China Wang Yi telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar dan Penasihat Keselamatan India, Ajit Doval menerusi telefon pada Sabtu, untuk meredakan keadaan dan mencapai gencatan senjata. Kedua-dua pihak India dan Pakistan memberikan respons positif.

"China berharap India dan Pakistan dapat mengukuhkan dan meneruskan momentum gencatan senjata, mengelakkan konflik daripada berulang lagi, menyelesaikan pertikaian secara saksama melalui dialog dan rundingan, dan kembali ke landasan penyelesaian politik," kata Lin.

Beliau menekankan bahawa China bersedia untuk mengekalkan komunikasi dengan India dan Pakistan, selain memainkan peranan membina demi mendorong pencapaian gencatan senjata menyeluruh dan berkekalan antara India dan Pakistan.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan