DUNIA > BERITA

SEORANG MAUT, SEJUMLAH PENUMPANG CEDERA SELEPAS PENERBANGAN LONDON-SINGAPURA HADAPI GELORA UDARA - SIA

21/05/2024 10:45 PM

 

SINGAPURA, 21 Mei (Bernama) -- Seorang maut dan sejumlah penumpang cedera selepas pesawat  Singapore Airlines (SIA)  penerbangan SQ321 dari London ke Singapura menghadapi gelora udara yang teruk dalam penerbangan, menurut syarikat penerbangan itu.  

SIA berkata pesawat Boeing 777-300ER yang membawa sejumlah 211 penumpang dan 18 anak kapal telah dilencongkan ke Bangkok dan mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan pada hari Selasa.

"Singapore Airlines merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia. Kami akan memberikan kemas kini berkala di akaun Facebook dan X kami," katanya di Facebook.

SIA berkata keutamaan mereka adalah untuk memberikan segala bantuan yang boleh kepada semua penumpang dan anak kapal di atas pesawat itu.

Syarikat penerbangan itu berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan dan menghantar pasukan ke Bangkok untuk memberikan sebarang pertolongan tambahan yang diperlukan.

"Saya amat bersedih mendengar tentang insiden di atas penerbangan Singapore Airlines SQ321 dari London Heathrow ke Singapura," kata Menteri Pengangkutan, Chee Hong Tat di laman Facebook beliau.

Chee berkata Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Singapura, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dan pegawai-pegawai Lapangan Terbang Changi serta petugas SIA sedang memberikan bantuan kepada penumpang yang terjejas dan keluarga mereka.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Singapore Airlines dalam satu kemas kini pada laman Facebooknya berkata pada pukul 7.50 malam waktu Singapura, 18 penumpang telah dimasukkan ke hospital  sementara 12 lagi menerima rawatan di hospital.

“Baki penumpang dan kru sedang diperiksa dan diberi rawatan yang perlu di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Singapore Airlines juga telah membuka talian penting bagi waris penumpang untuk mendapatkan maklumat di talian +65 6542 3311.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan