DUNIA > BERITA

PENG LIYUAN MELAWAT SEKOLAH DWIBAHASA DI BUDAPEST

10/05/2024 01:21 PM

BUDAPEST, 10 Mei (Bernama-CMG) -- Isteri Presiden China Xi Jinping, Prof Peng Liyuan pada Khamis meluangkan masa melawat sekolah dwibahasa Hungary-China di sini, ditemani isteri Perdana Menteri Hungary Viktor Orban, Aniko Levai.

Peng dan Levai telah menyaksikan kuliah bahasa Mandarin dan budaya tradisional China seperti guntingan kertas dan kaligrafi dan sempat berbual-bual mesra dengan para pelajar. 

Peng berkata sekolah dwibahasa Hungary-China ialah simbol persahabatan kedua-dua negara. Beliau amat berbesar hati melihat pelajar di sekolah itu mampu fasih bertutur dalam bahasa Mandarin. 

Beliau turut menzahirkan harapan agar para pelajar tekun belajar bahasa Mandarin dan budaya China, melawat atau melanjutkan pengajian di China jika berpeluang, demi menyumbangkan tenaga kepada peningkatan persahabatan kedua-dua negara.

Selain itu, Peng dan Levai juga bersama-sama menonton klip video tentang perkembangan sekolah dwibahasa tersebut selain menyaksikan pertunjukan bakat pelajar seperti tarian, deklamasi puisi, korus dan lain-lain, serta mengambil foto dengan mereka. 

Sebelum berangkat meninggalkan sekolah itu, Peng menghadiahkan buku-buku mengenai budaya China kepada sekolah berkenaan.

Sekolah dwibahasa Hungary-China yang ditubuhkan pada tahun 2004, merupakan sekolah awam yang menggunakan bahasa Hungary dan Mandarin dalam pengajarannya. 

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan