DUNIA > BERITA

SUKAN ASIA 2026 DI AICHI-NAGOYA GUNA KAPAL PERSIARAN SEBAGAI PERKAMPUNGAN ATLET

09/05/2024 08:43 PM

NAGOYA (Jepun), 9 Mei (Bernama-Jiji Press) -- Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya mengumumkan pada Rabu bahawa mereka sedang mempertimbangkan penggunaan kapal persiaran yang berlabuh di jeti sebagai alternatif perkampungan atlet untuk Sukan Asia 2026 yang dihoskan oleh Wilayah Aichi dan ibu kotanya, Nagoya.

Jawatankuasa itu akan membentangkan rancangan itu pada mesyuarat agung Majlis Olimpik Asia di Bangkok pada Sabtu, lapor Jiji Press Jepun.

Menurut pengumuman itu, jawatankuasa berkenaan merancang untuk menyediakan kapal persiaran yang boleh menampung kira-kira 3,000 orang di Jeti Kinjo di Pelabuhan Nagoya selama kira-kira 20 hari, menyediakan tempat tinggal kepada para atlet dan memberi mereka peluang untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Ini merupakan kali pertama kapal digunakan sebagai pengganti perkampungan atlet untuk acara sukan antarabangsa utama seperti Sukan Asia atau Olimpik.

Pada Mac 2023, jawatankuasa itu membatalkan rancangan untuk membina perkampungan atlet bagi mengurangkan kos. Walaupun mereka mencadangkan penggunaan hotel sedia ada sebagai alternatif, Majlis Olimpik Asia menekankan keperluan untuk memastikan pangkalan penginapan yang mencukupi.

-- BERNAMA-JIJI PRESS

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan