DUNIA > BERITA

TENTERA UDARA SINGAPURA, TUDM ADAKAN LATIHAN SAR BERSAMA DI KUANTAN

09/05/2024 08:12 PM

SINGAPURA, 9 Mei (Bernama) -- Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengadakan latihan dua hala Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) MALSING edisi keenam dari 7 hingga 15 Mei di Pangkalan Udara Kuantan, Malaysia.

Kementerian Pertahanan Singapura dalam kenyataan berkata edisi tahun ini melibatkan helikopter H225M RSAF dan EC725 TUDM, bersama kru udara  Mencari dan Menyelamat (SAR) dan kru daratan mereka.

Upacara pembukaan latihan di pangkalan udara berkenaan telah dirasmikan secara bersama oleh Pegawai Pemerintah RSAF Skuadron ke-125, Leftenan Kolonel (LTC) Lim Seng Wee dan Pegawai Pemerintah TUDM Skuadron ke-10, Lt Kol Ahmad Farhan Ahmad pada Rabu.

Semasa upacara tersebut, Lim berkata bahawa latihan dua hala tahunan ini menyediakan platform penting dan peluang terbaik bagi kedua-dua Tentera Udara untuk berkerjasama, saling beroperasi dan berlatih secara bersama dalam operasi menyelamat nyawa.

“Kami komited untuk memperbaiki operasi SAR bagi menyelamatkan nyawa melalui kerjasama tetap kami. Ini juga membuktikan hubungan pertahanan yang erat dan kukuh antara kedua-dua negara,” kata Lim.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata latihan dua hala itu mencerminkan tahap profesionalisme, kepercayaan bersama dan kecekapan pasukan yang tinggi antara kedua-dua Tentera Udara bagi memaksimumkan keupayaan bersama untuk melaksanakan operasi SAR dengan selamat dan pantas.

Semasa latihan itu, peserta dari kedua-dua negara turut terlibat dalam perbincangan profesional dan merancang operasi SAR berdasarkan senario simulasi nahas udara di luar Pulau Tioman, Malaysia.

Pasukan SAR turut mengadakan pencarian melalui udara dan pemindahan segera mangsa simulasi untuk rawatan perubatan segera, tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan