DUNIA > BERITA

MAKANAN, DESTINASI PELANCONGAN MALAYSIA DIPROMOSI DI UNIVERSITI ISLAM MADINAH

09/05/2024 12:50 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) --  Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (Persada) cawangan Universiti Islam Madinah mengambil kesempatan mempromosikan budaya, makanan, destinasi pelancongan dan institusi pendidikan Malaysia pada Festival Kebudayaan dan Bangsa  ke-12 anjuran universiti berkenaan yang  berlangsung dari 28 April hingga 9 Mei.

Yang di-Pertua Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (Persada) cawangan Madinah Ukail Ahmad Sanif ketika dihubungi Bernama berkata produk Malaysia yang diketengahkan termasuk makanan dipromosikan di reruai Malaysia yang bertemakan balairung dan Istana Melaka. 

Antara makanan Malaysia yang disediakan oleh 200 ahli Persada ialah rendang ayam dan rendang daging, nasi lemak, air bandung serta kuih tradisional seperti kole kacang.

Turut dipromosikan ialah destinasi pelancongan termasuk pulau Langkawi dan Perhentian, Pulau Pinang, Genting Highlands, Bandaraya Kuala Lumpur dan I-City di Shah Alam.

“Pengunjung di reruai Malaysia juga berpeluang untuk mencuba dan menggayakan pakaian tradisional Malaysia seperti ceongsam untuk kanak-kanak, baju Melayu,  samping, tengkolok, keris dan pakaian etnik Sarawak bagi tujuan bergambar,” katanya. 

Ukail berkata pengunjung reruai Malaysia turut bertanyakan mengenai institusi pendidikan yang menawarkan program pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah di Malaysia. 

“Sesuai dengan perkembangan teknologi, kami juga menyediakan peranti simulasi maya untuk memberikan gambaran lebih realistik tentang suasana di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas, aktiviti promosi yang dilakukan menerusi program itu berjaya menarik minat pengunjung untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian dan menyambung pengajian.

Festival berkenaan telah menarik lebih 100,000 pengunjung sepanjang penganjurannya, katanya. 

Menurut Ukail, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Roslan Sharif turut hadir meninjau reruai Malaysia di festival berkenaan pada Rabu (8 Mei) bagi memberikan sokongan kepada komitmen yang ditunjukkan Persada.

Festival berkenaan adalah merupakan acara tahunan  Universiti Islam Madinah dan menjadi acara utama dalam kalendar universiti memandangkan Universiti Islam Madinah diiktiraf oleh Guinness World of Records sebagai universiti yang mempunyai pelajar antarabangsa paling ramai melibatkan 170 negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan