DUNIA > BERITA

RSAF GANTUNG LATIHAN F-16 SELEPAS INSIDEN JET TERHEMPAS

09/05/2024 11:14 AM

SINGAPURA, 9 Mei (Bernama) -- Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) telah menggantung sementara latihan armada F-16 sebagai langkah keselamatan selepas insiden terhempas pada Rabu.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan berkata latihan akan ditangguhkan sehingga siasatan mengesahkan bahawa ia selamat untuk disambung semula.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan dan maklumat terkini akan disediakan," menurut kementerian itu.

Sebuah jet pejuang F-16 RSAF terhempas di Pangkalan Udara Tengah selepas mengalami masalah ketika berlepas pada 12.35 tengah hari, Rabu.

Bagaimanapun, juruterbang yang terlibat tidak mengalami kecederaan serius selepas menjalani pemeriksaan perubatan penuh.

"Juruterbang itu berada dalam keadaan sedar dan stabil. Anggota tentera itu adalah juruterbang berpengalaman dengan lebih 2,000 jam penerbangan dalam pesawat F-16," kata MINDEF.

Menurut kementerian itu, juruterbang berkenaan menghadapi masalah kawalan penerbangan selepas berlepas dari landasan di Pangkalan Udara Tengah untuk penerbangan latihan rutin.

Dalam kenyataan sebelumnya, MINDEF menyatakan bahawa juruterbang itu bertindak mengikut prosedur kecemasan dan berjaya keluar dari pesawat dengan selamat selepas insiden tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan