DUNIA > BERITA

FRIENDS OF PALESTIN DESAK OIC BERSATU BUKA LALUAN KEMANUSIAAN SEMPADAN GAZA

08/05/2024 06:03 PM

Oleh Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa untuk bersatu dalam membela nasib rakyat Palestin dan mendesak Israel untuk membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar dengan selamat melalui pintu sempadan lain.

Ahli Lembaga Pengarah Friends of Palestine (FoP) Farwina Faruq berkata kesepaduan seluruh negara Islam secara tidak langsung akan memberi tekanan besar kepada rejim Zionis untuk mencapai gencatan senjata dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

"Sudah tiba masanya negara ahli OIC bersatu terutama mereka yang bersempadan untuk turut sama membantu dan berhenti daripada takut akan negara rejim Zionis itu atas apa jua sebab.

"Nyawa rakyat Palestin kini sedang diambil dengan pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai ketika kita sedang bercakap ketika ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Dunia terus mengutuk sekeras-kerasnya serangan terkini tentera Israel ke atas bandar Rafah di Palestin dan kawalan yang dikenakan ke atas sempadan Rafah di sebelah Palestin.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa pengepungan ketenteraan dan serangan darat di Rafah akan menimbulkan risiko bencana kepada 600,000 kanak-kanak yang mencari perlindungan di kawasan itu.

Menurut UNICEF selepas arahan pemindahan oleh tentera Israel pada 13 Okt 2023 supaya berpindah ke selatan, kira-kira 1.2 juta orang kini berlindung di Rafah, yang sebelum ini menampung hanya sekitar 250,000 penduduk.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan