DUNIA > BERITA

BERNAMA, CMG AKAN TANDATANGANI MOU PERTUKARAN KANDUNGAN MEDIA

07/05/2024 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan China Media Group (CMG) Asia Pasifik akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pertukaran kandungan media ketika kedua-dua pihak berusaha meningkatkan kerjasama strategik antara penggiat media di kedua-dua negara. 

Perkembangan itu didedahkan oleh Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Ravichandran DJ Paul, selepas mesyuarat dua hala dengan Timbalan Ketua CMG Liao Li dan delegasinya ke ibu pejabat agensi berita itu di Wisma Bernama di sini pada Selasa.

MoU yang dicadangkan itu, yang kini dalam fasa akhir penyediaan, bukan sahaja tepat pada masanya untuk meningkatkan misi Bernama bagi menyediakan kandungan media terkini dan berkualiti merentasi semua platform kepada khalayaknya di seluruh dunia, tetapi ia juga penting sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini. 

Perjanjian tersebut adalah yang pertama kali ditandatangani oleh CMG, konglomerat media terbesar di dunia, dengan sebuah organisasi media tempatan di Malaysia.

Sementara itu, Liao melahirkan keyakinan bahawa perkongsian CMG dengan Bernama akan menerajui kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua organisasi melangkaui pertukaran kandungan media untuk memasukkan teknologi dan pembinaan kapasiti.

Beliau turut mencadangkan agar Bernama dan CMG bersama-sama menghasilkan satu program khas bagi memperingati sambutan Jubli Emas.

Dalam perkembangan lain, Liao berkata bagi menunjukkan sokongan kepada Malaysia sebagai anggota penting ASEAN, CMG bersedia untuk menerbitkan dan menyiarkan lebih banyak kandungan media berkaitan Pengerusi ASEAN yang digalas oleh Malaysia tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan