DUNIA > BERITA

PERWAKILAN TETAP MALAYSIA DI JAKARTA ANJUR “FLAVOURS OF MALAYSIA” GALAK PERTUKARAN BUDAYA

07/05/2024 02:32 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Mei (Bernama) -- Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta telah menganjurkan acara bertajuk "Flavours of Malaysia: Gastronomic Diplomacy" di kompleks Kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan.

Acara selama empat jam itu, yang berakhir 8 malam waktu tempatan pada Isnin, mengalu-alukan 200 tetamu, termasuk diplomat ASEAN, kakitangan Sekretariat ASEAN dan duta-duta dari negara rakan luar ASEAN.

Dalam ucapan perasmiannya, Duta Besar Datuk Nur Izzah Wong Mee Choo menggalakkan hadirin untuk mencuba masakan Malaysia, memberikan pendedahan kepada mereka yang belum berpeluang melawat Malaysia.

"Ia merupakan sedikit pengenalan kepada Malaysia bagi anda yang merancang untuk melawat lebih kerap pada tahun depan bagi ASEAN apabila Malaysia menjadi pengerusi pada 2025," katanya.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, kakitangan kedutaan dan anggota media turut menghadiri majlis itu, yang bertujuan mengukuhkan ikatan dan membina persahabatan dengan rakan sekerja.

Tetamu menikmati pelbagai hidangan seperti nasi lemak (beras dimasak dengan santan), rendang ayam (ayam dimasak dengan rempah ratus dan santan), lemang (beras pulut yang dimasak dalam buluh) dan kuey teow goreng.

Hidangan lain termasuk martabak (penkek telur dadar yang disumbat dengan daging), kuih ketayap (penkek kelapa manis), kari, sate ayam, roti jala (krep Malaysia) dan teh tarik.

Bercakap kepada media pada majlis itu, Nur Izzah percaya bahawa makanan boleh mewujudkan suasana yang selesa, membantu orang ramai untuk berhubung dan berkongsi kemesraan, hospitaliti dan kepelbagaian budaya Malaysia yang kaya.

"Masakan Malaysia mencerminkan sifat-sifat ini, mempamerkan keramahan rakyat kami dan pelbagai budaya yang bersatu dalam makanan kami," katanya.

Ini merupakan kali pertama Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta menganjurkan program itu dengan nama "Flavours of Malaysia" dan berharap dapat menjadikannya acara tahunan.

Nur Izzah berkata sempena penganjuran majlis lain seperti sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya mereka akan memperkenalkan masakan Malaysia, menyifatkannya sebagai cara unik untuk berkongsi budaya dan berhubung dengan orang lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan