DUNIA > BERITA

NEGARA-NEGARA ISLAM PERLU TEROKA INSTRUMEN KEWANGAN ISLAM YANG LEBIH LUAS - PANEL ISDB

27/04/2024 11:18 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

RIYADH, 27 April (Bernama) -- Tiba masanya bagi kalangan negara-negara Islam untuk mula meneroka pelbagai instrumen kewangan Islam yang luas, terutama dalam membantu negara berpendapatan sederhana dan rendah, kata Setiausaha Agung Keempat Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) Dr Ghiath Shabsigh.

Beliau berkata bidang lebih luas itu tidak hanya setakat ditinjau oleh bank-bank pembangunan pelbagai hala (MDB) seperti bank pusat, tetapi turut melibatkan sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa.

“Kita perlu memikirkan bagaimana dapat menberi tawaran kepada negara-negara ini. Oleh itu, kita perlu meneroka dan mengetengahkan pilihan berbeza kepada negara-negara ini dan pelabur? Dengan cara ini, kita dapat menjana lebih banyak dana, daya tarikan, keyakinan terhadap sistem dan pada kos lebih rendah.

“Pada akhirnya kelak, Insya-Allah semua pihak dalam keadaan lebih baik," katanya pada sesi panel bertajuk ‘Memanfaatkan Kewangan Islam untuk Membangunkan Infrastruktur Mampan dan Berdaya Tahan’ di hari pertama mesyuarat Bank Pembangunan Islam (IsDB) 2024 di sini hari ini.

Dr Shabsigh pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah di Jabatan Monetari dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan berperanan penting dalam memacu inisiatif perbankan dan teknologi kewangan (fintech) IMF. 

 Pada sesi dialog selama 90 minit itu, beliau yang merupakan salah seorang daripada empat panelis, juga menyifatkan kewangan Islam sejak bertahun lamanya telah menyumbang kepada kewangan global, termasuk meluaskan lingkungan instrumen kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh pelabur.

Ini juga dapat  membentuk instrumen pembiayaan hutang yang kukuh dan menyamai yang disediakan oleh sektor konvensional.

“Walaupun ia seperti (pembiayaan) ekuiti penuh berdasarkan (prinsip) perkongsian keuntungan, namun ini turut menawarkan pelbagai instrumen hibrid yang memberi profil berbeza dari segi kecairan risiko atau pulangan yang dipenuhi dalam pelbagai pilihan mengikut kehendak pelabur.

“Ini penting kerana dapat mengembangkan lingkungan pilihan mengelak risiko oleh pelabur, mengurangkan risiko keseluruhan dan menggalakkan lebih ramai pelabur ke pasaran.

“Perkara ini adalah antara yang boleh diketengahkan oleh pelabur kewangan. Aspek ini menjadi penyumbang besar kepada kewangan dan memerlukan kerjasama pengawal selia selain sokongan institusi seperti IsDB untuk menjelaskan serta mempromosi instrumen ini," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Presiden IsDB Dr Muhammad Al Jasser berkata wujud jurang pembiayaan berpotensi sebanyak US$15 trilion (US$1=RM4.74) menjelang 2030 untuk projek infrastruktur di seluruh dunia.

“Pelabur institusi, termasuk dana persaraan yang besar, dana persaraan kerajaan dan pengurus aset global, semakin mencari aset infrastruktur tidak tersenarai untuk portfolio mereka. Penjajaran semula strategik IsDB baru-baru ini misalnya, mengutamakan ‘pemulihan berdaya tahan’ dan pertumbuhan ekonomi hijau dengan menumpukan pembiayaan infrastruktur mampan bagi membawa masuk projek infrastruktur yang menguntungkan.

“Kewangan Islam, yang menumpukan sektor sebenar dan pembiayaan berasaskan aset, amat sesuai bagi pembiayaan infrastruktur yang melibatkan pelaburan jangka panjang dalam aset ketara," katanya.

Muhammad Al Jasser berkata sukuk yang juga instrumen kewangan utama dalam pasaran modal Islam, berpotensi besar untuk meningkatkan pelaburan dalam projek infrastruktur seperti dibuktikan oleh pasaran sukuk global yang kian berkembang.

Dalam pada itu, sesi perbincangan hari ini menyentuh perkara yang diutamakan pelabur apabila melabur dalam projek infrastruktur selain meninjau kaedah menarik pengurus aset bagi tujuan pembiayaan.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai potensi kewangan Islam dalam menangani keperluan infrastruktur global serta menggalakkan pembangunan mampan, terutama dalam kalangan negara-negara anggota IsDB.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan