DUNIA > BERITA

KIRA-KIRA 1,000 PEMIMPIN DUNIA BERHIMPUN DI WEF, SASAR RAPATKAN JURANG UTARA-SELATAN

27/04/2024 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kira-kira 1,000 pemimpin global daripada 92 negara akan berhimpun di Riyadh, Arab Saudi bersempena dengan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) mengenai Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.

WEF yang akan diadakan pada 28 hingga 29 April ini, bertujuan merapatkan jurang Utara-Selatan yang semakin meningkat dan mencari penyelesaian kolaboratif untuk menghadapi cabaran bersama.

WEF dalam kenyataan berkata mesyuarat khas itu akan mendorong kepada dialog berorientasi tindakan mengenai tiga tema utama: pertumbuhan inklusif, tenaga untuk pembangunan dan kerjasama global.

Presiden WEF Børge Brende berkata mesyuarat itu memberi peluang kepada pemimpin daripada seluruh sektor dan geografi untuk menukar idea kepada tindakan dan memanfaatkan potensi penyelesaian berskala terhadap pelbagai cabaran saling berkaitan yang mereka hadapi.

"Ketegangan geopolitik dan jurang sosioekonomi yang semakin mendalam di peringkat global hanya menjadikan kerjasama antarabangsa serta dialog dengan matlamat khusus ini semakin penting dan segera," katanya.

Sementara itu, Menteri Ekonomi dan Perancangan Arab Saudi Faisal F. Alibrahim berkata usaha menggiatkan semula kerjasama antarabangsa semakin penting dalam titik perubahan global ini.

Beliau berkata kerajaan itu sedang menggerakkan kekuatan diplomatik yang sepenuhnya untuk menyediakan laluan yang saling bermanfaat ke arah kemakmuran masa depan masyarakat global yang saling berkaitan.

"Kami sedang berusaha untuk memastikan bahawa kemajuan untuk sesuatu kawasan di dunia tidak menjejaskan kawasan lain dan komited untuk memenuhi tempoh ini dengan keazaman untuk sama-sama menyediakan masa depan bersama yang selamat, stabil dan mampan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan