BFOKUS

ANALISIS: PERANG DUNIA TANGANI PERUBAHAN IKLIM, CUKUPKAH KOMITMEN MALAYSIA?

11/11/2021 09:12 AM

Oleh Kurniawati Kamarudin
kurnia@bernama.com

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Usaha menangani bencana iklim yang lebih dahsyat akibat peningkatan suhu global terus dibincangkan di peringkat antarabangsa.

Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland yang sedang berlangsung (30 Okt-12 Nov), merupakan sebuah pertemuan penting pemimpin dunia dalam agenda menyelamatkan bumi yang boleh dikatakan sedang “berperang” menentang perubahan iklim.

Matlamat utama persidangan ialah mendapatkan komitmen kerajaan dan negara dunia agar dapat bersama-sama bertindak mengehadkan peningkatan suhu dunia pada tahap 1.5 darjah Celsius.


Gambar hiasan. -- https://www.trtworld.com

Ironinya, peningkatan suhu global sebanyak 1.2 darjah Celsius sekarang berbanding purata suhu pada permulaan era revolusi industri, telahpun menyaksikan banyak kejadian tidak diduga seperti banjir besar, gelombang haba dan kebakaran hutan yang ekstrem.

Banjir besar di Jerman pada Julai lalu misalnya mengorbankan 200 nyawa. Kejadian bah besar turut melanda beberapa bahagian lain di dunia, antaranya China, Nigeria, Belgium, Austria dan Itali. Kebakaran hutan pula dilaporkan berlaku di Turki, Amerika Syarikat dan Itali serta di Siberia hingga ke Kutub Utara.

Melihat pada kesemua bencana tersebut, bayangkan pula kesan yang akan dihadapi  jika suhu dunia meningkat sebanyak 1.5 darjah Celsius atau lebih.

Memahami kesukaran untuk menghentikan sepenuhnya pelepasan gas rumah hijau serta mencapai sasaran penyeimbangan bersih karbon (net zero carbon) menjelang 2050, tindakan segera mesti diambil untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk sebagaimana gesaan dan saranan saintis dan pakar iklim.

 

KOMITMEN UNTUK KEKALKAN HUTAN


Nasib Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) terus menjadi 'tanda tanya' selepas setahun cadangan menyahwartakan hutan tersebut dikemukakan kerajaan negeri Selangor. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Mustaqim Khairuddin

Mengurangkan penebangan hutan merupakan antara perkara yang dibincangkan pada COP-26.

Hutan dapat membantu mengawal perubahan iklim dengan  menyerap karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera hasil aktiviti manusia seperti eksploitasi sumber dan pembakaran bahan api yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan suhu dunia atau pemanasan global.

Bagaimanapun, keluasan kawasan berhutan di seluruh dunia kini semakin merosot  akibat penebangan berterusan dan pada kadar yang sangat membimbangkan.

Perubahan guna tanah untuk aktiviti pertanian menjadi punca utama penebangan hutan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO),  bagi tempoh 2015 hingga 2020, purata kehilangan hutan dunia dianggar pada kadar 10 juta hektar setahun, berkurangan sedikit berbanding 16 juta hektar pada dekad sebelumnya.

Menurut FAO lagi, sejak 1990, dianggar seluas 420 juta hektar hutan dunia “lesap” akibat tebus guna tanah bagi pelbagai tujuan dan aktiviti pembangunan ekonomi. Dalam tempoh itu, lebih 80 juta hektar hutan asli diteroka.

Bagi memastikan penyerapan karbon dapat dioptimumkan, pemimpin dunia dituntut untuk bersama-sama memberikan komitmen dalam memelihara, memulihara dan mengekalkan kawasan serta litupan hutan di negara masing-masing.

Malaysia tidak ketinggalan dan menyertai 131 negara lain menandatangani Deklarasi Pemimpin di Glasgow mengenai Hutan dan Guna Tanah. Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.


Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Deklarasi itu bertujuan memastikan perlindungan, pengurusan dan pemuliharaan hutan serta ekosistem selain perancangan guna tanah dijalankan secara lestari.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu kenyataan baru-baru ini, menjelaskan penyertaan Malaysia dalam deklarasi itu selaras dengan komitmen negara untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi hutan.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) semasa Sesi ke-16 Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFF) pada Mei tahun ini melaporkan Malaysia pada 2018 mempunyai 18.27 juta hektar (55.3 peratus daripada keluasan tanah negara) kawasan berhutan dan dilitupi pokok.

Inisiatif berterusan yang dilaksanakan oleh negara berjaya meningkatkan litupan kawasan berhutan sebanyak 2.6 peratus bagi tempoh 2005 hingga 2018.

 

KOMITMEN MALAYSIA

Sejak pembentukannya 64 tahun lalu, Malaysia terlibat secara aktif dalam menyokong agenda antarabangsa berkaitan kelestarian alam sekitar dan perubahan iklim, antaranya dengan menandatangani dan meratifikasi Ramsar Convention on Wetlands of International Importance, Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES), United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan The Kyoto Protocol serta United Nations Forum on Forest (UNFF).

Apabila Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah pada COP-26, komitmen itu mesti disokong oleh semua peringkat pentadbiran persekutuan dan negeri bagi memastikan komitmen tidak hanya di atas kertas.


Dr Aldrie Amir.

Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Aldrie Amir berkata deklarasi itu sangat tepat pada masanya selain selari dengan hasrat negara dalam mengawal pelepasan gas rumah hijau, terutamanya bagi mencapai sasaran sifar pelepasan karbon pada 2050 seperti yang dihasratkan dalam dokumen dan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 baru-baru ini.

“Seperti yang kita tahu, KeTSA sebelum ini melaporkan Malaysia  mempunyai 55.3 peratus kawasan berhutan dan menjadi tanggungjawab dan komitmen negara untuk memastikan peratusan kawasan berhutan yang ada ini dikekalkan atau diperluas dengan memulihara kawasan-kawasan hutan yang terosot.

“Pembangunan yang dirancang pada masa depan mesti mengambil kira kepentingan alam sekitar secara serius dengan menyeimbangkan perlindungan dan pemuliharaannya dengan komponen kelestarian sosial dan ekonomi. Penerokaan baharu kawasan berhutan mesti dihentikan dan dielakkan dengan melihat semula kawasan-kawasan yang telah dibangunkan serta merancang semula projek-projek pembangunan yang telah terbengkalai di seluruh negara,” kata Aldrie.

Selain mempromosikan perancangan strategik dan kelestarian negara, Malaysia boleh mengambil peluang dalam persidangan antarabangsa seperti COP-26 untuk berkongsi kejayaan atau amalan terbaik yang telah dilakukan negara, contohnya dalam usaha pemuliharaan hutan bakau di sepanjang garis pantai negara.


Hutan Simpan Paya Bakau Pulau Ketam. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA???

Ini kerana hutan bakau dikenal pasti dan dipersetujui oleh komuniti saintis dunia sebagai ekosistem berhutan dan tanah lembap yang paling cekap dalam penyerapan dan penyimpanan karbon selain menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem kepada manusia dan alam secara global.

Sebagai antara negara yang mempunyai keluasan hutan bakau terbesar di dunia, Malaysia berpeluang menjadi peneraju dan menjuarai usaha membangunkan formula pembayaran perkhidmatan ekosistem, khususnya melalui penjualan atau pertukaran kredit karbon dengan negara-negara lain, khasnya negara-negara maju.

Selain diakui kemampuannya dalam penyerapan dan penyimpanan karbon secara global, hutan bakau juga memainkan fungsi sebagai habitat dan nurseri untuk ikan dan hidupan laut yang merupakan sumber protein utama masyarakat dunia.

“Dengan cara memelihara dan memulihara keseluruhan kawasan hutan bakau negara secara kekal, ia boleh dilihat sebagai usaha unggul negara dalam membantu masyarakat dunia menyeimbangkan dan mengawal pelepasan gas rumah hijau (karbon dioksida dan metana) selain mengawal kitaran hidrologi dan iklim rantau dan dunia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

 

KEMUSNAHAN HUTAN BAKAU

Dalam usaha mengekalkan keluasan dan integriti hutan bakau sedia ada, tebus guna tanah bagi tujuan pertanian, akuakultur serta pembangunan yang lain mesti dihentikan.

Penerokaan serta perubahan guna tanah hutan bakau kepada kolam akuakultur yang tidak lestari berlaku secara berleluasa di seluruh negara. Kita tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang dilakukan negara-negara jiran yang kini menanggung kesan akibat pembangunan tidak lestari, katanya.


Sungai Batang Kali semakin “ditekan” pencemaran akibat projek penternakan ikan tilapia merah dan juga pembangunan chalet kayangan serta projek pertanian sebuah syarikat terkenal. --Gambar ihsan Datuk Rosli Mohamed Khamis

Malaysia katanya harus memikirkan kesan jangka panjang kepada kelestarian alam sekitar dan sosial dengan tidak mementingkan pulangan ekonomi jangka pendek semata-mata.

Jelas Aldrie, kolam akuakultur biasanya akan ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja selepas beberapa tahun beroperasi apabila kandungan nutrien berkurangan dan bahan pencemar pula meningkat, sekali gus tidak lagi sesuai untuk penternakan udang, lalu projek akan dipindahkan ke kawasan baharu.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa memperkenalkan peraturan memulihkan kolam-kolam yang ditinggalkan bagi mengembalikan hutan bakau yang telah hilang, selain menghentikan pemberian permit baharu atau kebenaran meneroka hutan bakau yang lain.

Pemusnahan hutan bakau bagi tujuan ekonomi jangka pendek ini memberi kesan amat besar kepada kelestarian alam sekitar dan sosial, tegasnya.

“Apabila tanah hutan bakau ini didedahkan akibat penebangan pokok dan pembentukan kolam, semua karbon yang tersimpan sejak zaman berzaman akan dioksidakan dan kembali ke atmosfera sebagai gas rumah hijau.

“Daripada menjadi penyerap karbon terunggul di dunia, hutan bakau boleh bertukar menjadi pencemar atau pelepas karbon yang terdahsyat di dunia akibat perbuatan dan aktiviti manusia,” katanya.

Sejak era revolusi perindustrian, sudah terlalu banyak karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera dan kesannya boleh dilihat dan dirasai oleh generasi masa kini.

 Keadaan ini berlaku disebabkan ketidakseimbangan yang dicetuskan oleh aktiviti dan pembangunan manusia yang tidak lestari dan tidak mengambil kira kepentingan alam sekitar.

Ketidakstabilan ini perlu diperangi secara global kerana kesan perubahan iklim yang berlaku tidak mengenal sempadan negara. Impaknya bersifat global.

Sehubungan itu, peluang yang ada pada persidangan antarabangsa mesti digunakan sebaik mungkin oleh pemimpin dunia untuk menyusun strategi secara bersama dan inklusif bagi memenangi ‘perang dunia’ era baharu ini.

Persetujuan dalam mencari penyelesaian dan alternatif kepada kaedah pembangunan dan aktiviti manusia yang tidak lestari mesti dicapai dengan berpandukan prinsip-prinsip asas kelestarian bagi memastikan planet bumi yang stabil dan boleh dihuni oleh generasi masa kini dan akan datang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan