MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Malaysia Akan Terus Berkembang Sebagai Destinasi Pembangunan Pusat Data Pilihan - Fahmi

17/10/2023 12:44 AM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

DUBAI, 16 Okt (Bernama) -- Kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pembangunan pusat data dijangka terus berkembang, dipacu oleh lokasi strategik negara, infrastruktur, kestabilan, dan sokongan kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata memandangkan data terus berperanan semakin penting dalam era digital, sokongan kerajaan bukan sahaja menggalakkan pelaburan asing malah juga menekankan komitmen negara untuk merangsang inovasi dan kemajuan teknologi.

“Kestabilan politik negara dan kerangka perundangan yang kukuh seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 mewujudkan persekitaran yang terjamin, seterusnya mengukuhkan daya tarikan untuk pelaburan pusat data,” katanya pada sesi Meja Bulat Ketua-ketua Perniagaan bersama Pelabur dari Komanwel Negara-Negara Merdeka.

Perbincangan meja bulat itu dihadiri 33 perwakilan dari Rusia, Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), India, Singapura, Belarus, dan Sepanyol.

Sesi meja bulat itu diadakan di luar Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global 2023, di sini, pada Isnin.

Sejajar dengan misi itu, Fahmi berkata Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan melaksanakan peranan penting meningkatkan kerjasama antara syarikat dan meletakkan semula Malaysia sebagai landasan untuk menjadi pintu masuk bagi seluruh negara Asean dalam ekonomi digital.

“Kami di Malaysia berharap dapat bekerjasama dalam mana-mana bidang berkaitan dengan ekonomi digital dan kami melihat pusat data dan pusat awan mempunyai pertumbuhan kukuh serta menarik dengan banyak potensi pelaburan besar.

“Malaysia bukan sahaja terbuka untuk perniagaan malah juga akan memudahkan perniagaan anda (pelabur). Peranan saya adalah memudahkan, mempercepat dan memastikan bahawa Malaysia boleh menjadi rakan kongsi anda, dan lebih penting, menjadi rumah anda,” katanya.

Selepas perbincangan meja bulat, Fahmi membuat kunjungan hormat kepada Menteri Negara UAE bagi Kecerdasan Buatan, Ekonomi Digital dan Aplikasi Kerja Jarak Jauh, Omar Sultan Al Olama untuk membincangkan lebih lanjut mengenai inisiatif digital.

Beliau berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan UAE dalam perlindungan data, dengan tumpuan khusus kepada memastikan kemajuan teknologi kecerdasan buatan sejajar dengan undang-undang dan garis panduan privasi dan perlindungan data peribadi, seperti Akta Pencegahan Jenayah Elektronik (PECA) 2018.

Perbincangan selama 15 minit antara kedua-dua menteri itu antara lain merangkumi potensi kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara dalam ekonomi digital dan pusat data.

UAE dan Malaysia saling melengkapi antara satu sama lain dari segi melengkapkan infrastruktur ekonomi digital di kedua-dua negara, katanya.

Fahmi turut mempelawa Omar melawat Malaysia bagi mendapatkan pengalaman yang lebih baik mengenai pertumbuhan digital negara dan menjayakan potensi kerjasama.

Di luar mesyuarat dua hala itu, Omar berkongsi kenangan indah meraikan ulang tahun ke-10 kelahirannya di Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor, pada 2000.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan