MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

36 Syarikat Pengeluar Orkid Projek Rintis Leod Terima Pesanan Bernilai Rm83.9 Juta

25/09/2023 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- 36 syarikat pengeluar orkid projek rintis Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) mencatatkan pesanan belian bernilai RM83.9 juta bagi 2024, dengan setiap syarikat menerima pesanan bernilai RM2.3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Orchidmas Sdn Bhd, Shiz Mohammad Datuk Dr Kassim berkata di samping itu, syarikat turut memperoleh kontrak pembekalan selama lima tahun bernilai RM419.9 juta dengan setiap syarikat menerima kontrak bernilai RM11.6 juta.

Orchidmas terlibat dalam pengendalian setiap operasi logistik darat dan udara dari Malaysia ke Dubai bersama-sama dengan rakan strategik, Emirates SkyCargo, katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Orchidmas ialah syarikat yang menguruskan promosi produk keluaran LEOD.

Orchidmas juga telah menubuhkan sebuah syarikat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) iaitu Orchidmas International LLC, Dubai yang berkolaborasi dengan CKS Foodstuff Trading LLC, Dubai untuk melancarkan urusan penjualan dan promosi produk di Dubai melalui platform e-dagang, orchidmas.com.

“Pihak CKS Foodstuff Trading LLC ialah rakan strategik kami kerana pengalaman 10 tahun mereka dalam pemasaran produk pertanian Malaysia di Dubai terutama bagi produk buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Kini, pihak CKS ingin memperluas urus niaga mereka dengan membawa produk orkid Mokara ke Dubai,” katanya.

Shiz Mohammad berkata berdasarkan pesanan belian dan kontrak pembekalan lima tahun, pihak CKS telah merealisasikan keperluan 36 syarikat pengeluar itu bagi tujuan pembiayaan projek LEOD ini melalui EXIM Bank.

Beliau berkata projek rintis LEOD melibatkan tiga ladang dengan jumlah keluasan 29.14 hektar iaitu LEOD Lukut, LEOD Linggi dan LEOD Sepang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan