BERITA COVID–19   Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy | Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham | Jepun akan mudahkan prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang | 
MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

MAFI tarik RM455 juta pelaburan berpotensi di Ekspo 2020 Dubai

26/02/2022 05:37 PM

Daripada Salawaty Supardi

DUBAI, 26 Feb -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berjaya menarik potensi pelaburan dengan nilai RM455 juta menerusi penganjuran Minggu Pertanian Lestari di Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung dari 21 Februari lepas hingga hari ini.

Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid berkata potensi nilai pelaburan itu melebihi sasaran awal kementerian iaitu RM350 juta seterusnya menyifatkan penganjuran minggu tersebut sangat berjaya. 

Beliau berkata potensi itu dicapai menerusi pemeteraian 12 Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dengan syarikat tempatan melibatkan kerjasama teknikal, pelaburan, penyediaan fasiliti perniagaan (business facilitation) selain penyelidikan dan pembangunan. 

"Selain itu, kita telah mengadakan 70 padanan perniagaan berbanding sasaran 50 dan semua usaha ini telah lama MAFI mulakan termasuklah dengan melancarkan laman mikro pertanian lestari yang memaparkan latar belakang lebih 40 syarikat berkaitan pertanian. 

"Ada juga beberapa negara menyatakan minat untuk mengadakan fasiliti perniagaan berkaitan industri pertanian seperti  Namibia, Mexico, Surinam, Slovakia, Jepun, India, Jerman dan Maldives," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini. 

Menurut Haslina selain berjaya mewujudkan kerjasama perniagaan, Minggu Pertanian Lestari itu juga merupakan platform terbaik untuk syarikat Malaysia meluaskan pasaran halal bukan sahaja di sini atau Emeriah Arab Bersatu (UAE), malah ke pasaran Timur Tengah. 

Beliau berkata aktiviti yang diadakan sepanjang minggu termasuk demonstrasi masakan tempatan, ukiran serta edaran buah-buahan tempatan seperti durian, nangka, pamelo dan jambu batu berjaya menarik kira-kira 40,000 orang pelawat ke Pavilion Malaysia. 

Haslina turut berita kasih kepada semua pihak yang menjayakan Minggu Pertanian Lestari termasuk Malaysian Bioeconomy Development Corporation sebagai agensi pelaksana serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selaku peneraju penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai. 

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan