COVID-19

31 pelajar, 3 pensyarah Kolej Matrikulasi N.Sembilan disahkan positif COVID-19

04/12/2021 12:11 AM

SEREMBAN, 3 Dis  -- Sebanyak 34 kes positif COVID-19 dikesan di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS), Kuala Pilah dekat sini membabitkan 31 pelajar dan tiga pensyarah.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, seramai 105 warga kolej yang merupakan kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan COVID-19.

Katanya, kesemua yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Tampin untuk tindakan lanjut, semalam.  

“Kita juga telah melaksanakan kawalan secara pentadbiran bermula semalam (Khamis) bagi mengelakkan penularan wabak, manakala seramai 523 warga kolej yang telah disaring semalam, disahkan negatif," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika ini segala pergerakan keluar masuk ke kolej berkenaan tidak dibenarkan dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat mana-mana individu yang ingkar.

Ibu bapa pelajar turut dinasihatkan agar tidak panik dengan perkembangan tersebut, tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S.Veerapan dalam kenyataan malam ini memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan  Secara Pentadbiran (TEMCO) dilaksanakan di kolej berkenaan bermula semalam hingga 8 Dis ini bagi mengawal jangkitan wabak itu.

Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 219 kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kini 109,177 kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan