COVID-19

Dua tapak bina kluster Damanlela ditutup, tiada keperluan PKPD - Ismail Sabri

18/11/2020 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Belum terdapat keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tapak bina melibatkan Kluster Damanlela, di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyaring kesemua pekerja asing terlibat dan dua tapak pembinaan berkaitan telah ditutup. 

"Semua pekerja yang positif telah dimasukkan ke hospital dan ‘close contact’ (kontak rapat) telah dikuarantin di hotel-hotel yang ditanggung oleh majikan," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini. 

Katanya setakat ini sejumlah 3,128 pekerja tapak binaan berkaitan telah disaring dan merekodkan 1,346 kes positif.

Sementara, dua tapak bina iaitu Pavilion Height di Damansara Fasa 2 dan PARC 3 di Cheras telah ditutup.

Mengulas mengenai peningkatan kes di Lembah Klang terutama di Kuala Lumpur, Ismail Sabri berkata setakat ini, hanya PKPD secara lokaliti akan dikenakan. 

"KKM akan terus mengenal pasti dan membuat penilaian risiko jika ada keperluan tertentu untuk lokaliti itu dikenakan PKPD," katanya. 

Sehubungan itu kata Ismail Sabri,  tiada sebarang cadangan untuk mengenakan PKPD di seluruh Kuala Lumpur buat masa ini. 

Hari ini, dari 660 kes COVID-19 positif yang dilaporkan, hanya 31 daripadanya direkodkan di Kuala Lumpur iaitu penurunan berbanding 245 kes yang dicatatkan semalam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan