COVID-19

COVID-19: Duta Nepal ucap terima kasih Malaysia bantu beri rawatan pekerja migran

10/07/2020 12:45 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 10 Julai -- Duta Nepal ke Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia selepas 82 pekerja migrannya yang dijangkiti COVID-19 dan menerima rawatan di hospital Malaysia sudah pulih sepenuhnya.

Udaya Raj Pandey berkata pada masa ini tiada kes positif COVID-19 membabitkan warga Nepal di negara ini.

"Rawatan yang diberikan baik. Kami berpuas hati. Mereka yang dijangkiti sudah sembuh," katanya kepada Bernama. 

Tetapi menurutnya, ada sejumlah pekerja migran Nepal hilang pekerjaan akibat penularan wabak itu dan kini sedang dalam proses untuk dihantar pulang.

"Terdapat 10,000 pekerja mahu dihantar balik. Kira-kira 3,000 sudah meninggalkan Malaysia," katanya sambil berharap Jabatan Imigresen dapat membantu mempercepat pengeluaran dokumen bagi membolehkan mereka balik ke negara asal.

Pandey berkata, kedutaan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia berkaitan perkara itu.

"Jika kebenaran dapat diperoleh dengan cepat, kami boleh hantar balik dengan penerbangan sewa khas. Kami sudah mengatur penerbangan dalam beberapa hari lagi," katanya.

Ditanya sama ada kedutaan menerima aduan atau laporan mengenai penganiayaan terhadap warganya di sini, Pandey berkata tiada sebarang laporan berhubung perkara itu diterima. 

"Mereka semua dilayan dengan baik," katanya mengenai nasib kira-kira 425,000 pekerja migran Nepal, terutama yang bekerja di sektor pembuatan dan keselamatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan