COVID-19

KAM teruja anjur kejohanan kabaddi Piala Dunia Remaja Wanita

03/07/2020 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai -- Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM) tidak sabar untuk menganjurkan kejohanan kabaddi Piala Dunia Remaja Wanita, selepas hampir semua perancangan dalam kalendar 2020 terhenti susulan penularan wabak COVID-19.

Kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada September ini, bagaimanapun masih menunggu ‘lampu hijau’  daripada kerajaan untuk membenarkan aktiviti sukan kontak dilaksanakan.

Presiden KAM, M.Sathasivam berkata antara yang menjadi keutamaan persatuan adalah persiapan untuk kejohanan dunia serta menganjurkan kejohanan kabaddi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Kami diberikan hak penganjuran oleh Persekutuan Kabaddi Antarabangsa (IKF) walaupun beberapa negara menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan. Kami akan berhubung dengan dengan IKF dan pihak berkuasa tempatan bagi menentukan tarikh baharu dan venue sesuai, selepas Selangor, Sarawak dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, sebelum ini.

“Jika kerajaan meluluskan, kami juga berminat untuk menganjurkan tiga kategori (bawah -12, 15 dan 17 tahun) kejohanan MSSM di Kedah, yang sangat penting untuk pembangunan akar umbi. Kami akan terus mempromosi sukan kabaddi kepada kaum lain bagi mendapatkan lebih ramai atlet dalam sukan ini,” katanya kepada Bernama.

Sebanyak 16 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita itu.

Memandangkan acara kabaddi turut dipertandingan di temasya Sukan Asia dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita, Sathasivam berkata, persatuan berusaha untuk mengembalikan kabaddi dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan SEA.

“Kabaddi antara sukan tidak menggunakan peralatan. Ini bermakna kabaddi boleh dimainkan dengan mudah di mana-mana, tanpa perlu perbelanjaan untuk peralatan,” katanya.

Selain negara Asia seperti Iran, Jepun, China, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Indonesia dan Thailand, kabaddi turut dimainkan di Sepanyol, Kenya, Kanada, Poland dan Argentina.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan