COVID-19

CIMB akan lanjutkan sokongan bagi sektor paling terjejas akibat COVID-19

30/06/2020 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun -- CIMB Group Holdings Bhd akan berbincang dengan peminjam daripada sektor yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk melanjutkan sokongan dan menstrukturkan semula terma yang perlu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata apabila tempoh moratorium berakhir, tumpuan CIMB, bersama institusi kewangan lain, akan terarah kepada pendekatan bantuan yang lebih bersasar.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat agung tahunan ke-63 syarikat itu hari ini, yang berlangsung secara maya buat kali pertama.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad.

Menurut CIMB Group susulan pandemik COVID-19 serta kesannya ke atas ekonomi global, prestasi kewangannya pada tahun kewangan 2020 akan turut terjejas.

Bagi mengurangkan impak itu, CIMB Group akan meneliti semula strategi Forward23 selain menggiatkan inisiatif pengurusan kos yang ketat.

Ia berkata moratorium automatik selama enam bulan di Malaysia telah meringankan bebab pelanggan CIMB, khususnya segmen kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setakat akhir Mei, moratorium itu telah memberi manfaat kepada lebih 1.3 juta pelanggan runcit dan lebih 16,000 pelanggan PKS dan korporat dari segi pengurangan aliran tunai untuk membantu mereka menghadapi persekitaran mencabar.

Selain itu CIMB Group telah meluluskan dana bantuan bernilai lebih RM1 bilion untuk PKS, daripada jumlah itu RM700 juta adalah di bawah dana bantuan khas Bank Negara Malaysia.

Ia turut komited menyokong skim pembiayaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang baru diperkenalkan bernilai RM1 bilion untuk PKS.

Tiga sektor yang paling terjejas menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia adalah pelancongan, pembuatan dan runcit, dalam keadaan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan masih berterusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan