COVID-19

COVID-19: Program saringan Prihatin Perkeso bermula hari ini

27/04/2020 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 April -- Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas pekerja termasuk pekerja asing syarikat-syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula hari ini.

Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan saringan COVID-19 di bawah inisiatif itu diberikan secara percuma untuk pekerja yang majikannya berdaftar dengan Perkeso.

“Saringan COVID-19 ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Dalam fasa pertama yang bermula hari ini, saringan COVID-19 disediakan oleh penyedia perkhidmatan yang telah dilantik oleh Perkeso.

“Keutamaan akan diberikan kepada pekerja yang bekerja di zon berisiko tinggi jangkitan COVID-19. Dalam fasa kedua yang akan dimaklumkan kelak, saringan disediakan melalui panel klinik PSP Perkeso,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, perincian berhubung syarat dan prosedur untuk program saringan akan dipaparkan di portal PSP Perkeso https://prihatin.perkeso.gov.my, laman sesawang Perkeso www.perkeso.gov.my dan media sosial rasmi Perkeso.

Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal PSP Perkeso menggunakan nombor kad pengenalan pekerja atau Nombor Keselamatan Sosial Pekerja Asing (KSPA) bagi pekerja asing.

Semua maklumat termasuk perkembangan terkini mengenai PSP Perkeso akan diumumkan melalui saluran rasmi Perkeso termasuk laman web rasmi Perkeso, media sosial rasmi dan portal SeHAT https://sehat.perkeso.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan