BENCANA NEGARA

SABAH PERUNTUK RM7.5 JUTA SALUR BEKALAN AIR KEPADA PENDUDUK 12 DAERAH

27/03/2024 04:11 PM

KOTA KINABALU, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperuntukkan RM7.5 juta untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada 58,080 keluarga di 12 daerah di negeri ini yang terjejas akibat cuaca panas dan kemarau.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata daerah mengalami kekurangan bekalan air itu ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

Beliau berkata penyaluran dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu merangkumi 355 kampung, manakala Jabatan Air Negeri Sabah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas berkenaan sedang mengagihkan air kepada penduduk.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari lepas dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

Menurut Hajiji Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga telah mengesyorkan operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan terjejas akibat cuaca panas dan kering bermula esok hingga Sabtu ini.

“Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan. Kos ditanggung NADMA, manakala METMalaysia menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal,” katanya.

Hajiji berkata Tentera Udara Diraja Malaysia yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM267,444 kepada JBPM untuk kegunaan membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas termasuk 27 pam mudah alih dan 75 pam sandang berenjin.

Menurut Hajiji setakat semalam sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 3,800.9 hektar di negeri ini, dengan daripada jumlah itu kebakaran kira-kira 3.46 hektar kawasan di tapak pelupusan sampah Kayu Madang di sini belum dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehingga kini, JBPM telah mengerah 319 anggotanya di seluruh Sabah untuk memadam kebakaran ini. Kerajaan negeri berjanji untuk memberi bantuan kepada JBPM bagi mengawal kebakaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan