BENCANA NEGARA

12 EKOR KUCING 'HARTA' PERTAMA DISELAMATKAN KETIKA BANJIR

30/01/2023 03:37 PM

Oleh Muhammad Faizal Nazmi Mohd Haran

SEGAMAT, 30 Jan (Bernama) -- Sebanyak 12 ekor kucing yang diletakkan dalam sangkar di luar rumah merupakan 'harta' pertama diselamatkan Faridah Idris, 50, sebaik menyedari air mula naik di sekitar rumahnya di Kampung Paya Merah Lama, Labis, di sini, Selasa lepas. 

Dalam kejadian banjir itu, kediaman Faridah dan suaminya Ahad Musa, 52, antara yang teruk terjejas apabila air naik hingga ke paras pinggang. 

“Kejadian berlaku selepas Subuh apabila saya perasan air naik sangat cepat akibat hujan berterusan sejak dari malam. Tanpa peduli harta benda lain, dalam fikiran saya ketika itu hanya mahu selamatkan kucing saya terlebih dahulu.

"Ketika itu suami tiada di rumah kerana hantar anak balik ke Batu Pahat. Saya pula tidak berapa sihat, jadi saya segera minta bantuan seorang lagi anak untuk pindahkan kucing berkenaan ke atas lori milik suami. Alhamdulillah, semua kucing itu selamat," katanya yang ditemui Bernama ketika sedang membersihkan kediamannya di sini.

Begitupun, Faridah berkata dia dan suami agak terkilan kerana hampir separuh daripada 60 ekor ayam yang diternak 'lesap' ekoran banjir tersebut.

"Kesemua ayam kami kurung dalam reban, tetapi arus banjir yang kuat menyebabkan dua reban rosak. Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, sukar nak selamatkan semuanya lebih-lebih lagi apabila ada yang terbang entah ke mana.

"Ayam ini kami bela untuk kegunaan sendiri, bukan untuk meniaga dan baru-baru ini banyak yang sudah menetas. Mungkin bukan rezeki kami apabila habis semua telur ayam hanyut dan rosak," katanya. 

Faridah yang mengusahakan kedai makan secara kecil-kecilan berkata, kampungnya itu memang selalu dilanda banjir kerana terletak di kawasan rendah, namun masalah longkang yang tersumbat menjadikan banjir kali ini antara yang terburuk.

"Longkang di sini banyak yang tersumbat dengan sampah, ranting pokok dan daun sawit. Jadi, saya berharap pihak berkuasa tempatan boleh bantu bersihkan supaya penduduk kampung tidak terus menjadi mangsa banir," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan