BENCANA NEGARA

BANJIR SELANGOR RAGUT LAPAN NYAWA

20/12/2021 07:30 PM

HULU LANGAT, 20 Dis (Bernama) -- Banjir yang melanda Selangor setakat ini telah mengorbankan lapan nyawa, menurut Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata kematian akibat banjir itu dilaporkan di Shah Alam dengan empat kematian, Kajang (tiga) dan Sungai Buloh (satu).

Bercakap kepada Bernama selepas melawat mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa dekat sini hari ini, Arjunaidi berkata kejadian banjir itu turut menjejaskan empat balai polis di bawah kontinjen Selangor serta kediaman melibatkan 3,330 anggota dan pegawai pasukan itu.

“Anggota kita masih meneruskan tugas seperti biasa walaupun balai terjejas. Ini adalah tanggungjawab kita dan proses menyelamat diteruskan walaupun kita berdepan dengan halangan untuk memasuki kawasan banjir,” katanya.

Setakat pagi tadi, seramai 32,044 mangsa banjir telah ditempatkan di 162 pusat pemindahan sementara di sembilan daerah di Selangor, dengan daerah Klang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 18,858 orang.

Sementara itu di Shah Alam, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, satu mayat lelaki ditemukan pada Sabtu dan dua lagi mayat lelaki ditemukan semalam di kawasan Taman Sri Muda.

“Ketiga-tiga mangsa ditemukan di dalam air banjir, manakala mayat seorang wanita dipercayai warga Indonesia, ditemukan di sebuah rumah di bahagian tingkat atas awal pagi semalam di taman tersebut,” katanya pada sidang media di  Pusat Kawalan Operasi Bencana Bomba Seri Muda di sini, hari ini.

Beliau berkata dua lagi mayat lelaki ditemukan di Dengkil hari ini dan seorang mayat pemandu lori lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan