Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

FOI 2026: Idea Berpotensi Akan Dibawa Ke Kabinet - Zambry

19/11/2026 08:20 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Semua pandangan dan idea yang dikemukakan sepanjang Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 akan dikumpul serta diteliti sebelum cadangan berpotensi dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata proses penilaian itu penting bagi mengenal pasti idea yang boleh diterjemahkan kepada dasar dan tindakan untuk manfaat pembangunan negara.

“Seluruh pandangan dan idea yang dibincangkan sepanjang FOI akan dibawa dan disaring … yang benar-benar berpotensi menjadi satu cadangan yang sangat baik akan dibawa ke Kabinet... kita akan syorkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan FOI 2026 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Zambry berkata festival itu, yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, menyediakan platform kepada masyarakat khususnya golongan muda, ahli akademik dan pemikir untuk menyumbangkan pandangan mengenai pembangunan negara.

Beliau berkata pandangan daripada akar umbi penting kerana kekuatan idea dan budaya mencintai ilmu adalah asas dalam membina negara yang maju serta menentukan hala tuju Malaysia pada masa depan.

“Negara yang memiliki kekuatan idea dan minda berupaya membina pengaruh serta menguasai dunia meskipun tidak mempunyai keluasan wilayah atau kekayaan material yang besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata inisiatif Wall of Ideas yang diperkenal pada FOI 2026 membolehkan pengunjung mengemukakan pandangan dan cadangan khususnya berkaitan pendidikan tinggi serta pembangunan negara.

Beliau berkata pandangan pelajar penting kerana mereka adalah kumpulan yang mengikuti sistem pendidikan tinggi dan berupaya mengenal pasti bidang pengajian serta kemahiran diperlukan pada masa depan.

“Jadi, bila mereka memberikan pandangan mungkin ada bidang yang mereka berikan itu adalah satu bidang yang diperlukan di masa akan datang ataupun aktiviti yang mereka berikan adalah aktiviti yang sesuai untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran,” katanya.

Mohammad Shatar berkata inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama MQA dan Education Malaysia Global Services (EMGS) itu membolehkan pengunjung mengemukakan idea melalui tablet atau kod QR menggunakan telefon mudah alih.

Idea yang diterima dipapar dan dikelompokkan menggunakan kecerdasan buatan kepada lima bidang, iaitu Negara dan Tadbir Urus; Ilmu, Inovasi dan Masa Hadapan; Ekonomi dan Industri; Kelestarian dan Kesejahteraan serta Keselamatan dan Ketahanan Negara.

FOI Putrajaya 2026, yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Nov lepas, menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon termasuk 16 sesi perbincangan melibatkan 72 tokoh, ahli panel dan pembentang tempatan serta antarabangsa.

Festival itu turut disertai delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan