MELAKA, 19 Nov (Bernama) -- Melaka bakal menganjurkan pelbagai program pelancongan pada Disember ini bagi menarik lebih ramai pengunjung sempena musim cuti persekolahan, sekali gus meningkatkan jumlah kunjungan pelancong ke negeri bersejarah itu.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad berkata antara program akan diteruskan ialah Bila Larut Malam, yang lazimnya diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan, dengan pelbagai pengisian dirancang khususnya sempena musim cuti sekolah.
“Dua acara utama yang akan dianjurkan ialah sambutan Krismas melibatkan masyarakat beragama Kristian serta sambutan ambang Tahun Baharu 2027.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kita akan menyusun program menarik dan menyediakan pelbagai pengisian bagi memeriahkan kedua-dua acara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kolaborasi Ulang Tahun Ke-55 Mamee x Hard Rock Cafe Melaka di Jalan Jonker di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh itu turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Nasrul berkata lokasi bagi kedua-dua sambutan itu masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri, namun Kampung Portugis lazimnya menjadi lokasi sambutan Krismas di Melaka.
Dalam pada itu, beliau berkata aplikasi Smart Tourism Melaka yang dibangunkan dengan kerjasama Melaka ICT Holdings dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Jabatan Ketua Menteri, terus giat dipromosikan dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelancong.
Nasrul berkata aplikasi itu ketika ini membantu pengguna merancang perjalanan serta mendapatkan maklumat mengenai lokasi tarikan pelancongan di Melaka.
Beliau berkata fasa kedua yang dirancang tahun depan bakal memperkenalkan fungsi pembayaran secara terus menerusi aplikasi berkenaan, tertakluk kepada perancangan dan peruntukan tambahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial