Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JaPEN Perkukuh Pendekatan Digital, Kekal Komunikasi Bersemuka Sampaikan Maklumat

01/07/2026 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan menerusi gabungan komunikasi digital dan pendekatan bersemuka, bagi memastikan maklumat bukan sahaja sampai kepada rakyat, malah dapat dirasai serta dipercayai.

Ketua Pengarah JAPEN Erwin Khairul Ahmad berkata komunikasi secara bersemuka atau heart-to-heart akan terus menjadi pendekatan jabatan itu walaupun landskap penyampaian maklumat kini lebih didominasi platform digital.

Pada masa sama, beliau berkata JAPEN juga akan terus memperkasakan kandungan digital termasuk video pendek, media sosial dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya penyampaian maklumat kerajaan kekal relevan seiring dengan perubahan corak penggunaan media masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain komunikasi bersemuka, kita kena ada komunikasi digital yang bentuk bersemuka juga,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Memperkasa Naratif, Memperteguh Jalinan Dengan Rakyat, malam ini.

Erwin Khairul, yang dilantik Ketua Pengarah JAPEN baharu berkuat kuasa 22 Jun lepas berkata dalam tempoh lapan hari memegang jawatan itu, beliau telah menghasilkan empat video pendek mengenai dasar kerajaan dan ia akan menjadi pendekatan baharu ingin diterapkan dalam jabatan berkenaan.

Beliau berkata ia susulan masyarakat kini lebih banyak memperoleh maklumat menerusi platform digital dan penyampaian maklumat kerajaan juga perlu disesuaikan dengan perubahan tersebut tanpa mengabaikan pendekatan komunikasi secara langsung.

Erwin Khairul berkata antara keutamaan beliau kini ialah untuk melahirkan warga JAPEN yang memiliki pelbagai kemahiran menerusi latihan, peningkatan kemahiran dan pendedahan kepada teknologi baharu termasuk AI.

Katanya, untuk itu pelaksanaan kursus berterusan termasuk dengan kerjasama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan penggiliran kerja akan dilakukan bagi memastikan warga JAPEN mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap komunikasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan