Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Selangor Zahir Terima Kasih, Syabas Kepada PM Anwar Teruskan Projek LRT3

01/07/2026 05:59 PM

SHAH ALAM, 1 Julai (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan terima kasih dan syabas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju meneruskan  projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sehingga perkhidmatan itu akhirnya beroperasi Isnin lepas. 

Baginda turut menzahirkan syukur memandangkan Anwar selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2022, bersedia mengembalikan semula lima stesen yang dibatalkan sebelum ini selain mencadangkan pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat. 

“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda dalam perutusan yang dikeluarkan hari ini. 

Ad Banner
Ad Banner

Sultan Sharafuddin menegaskan projek LRT3 Shah Alam itu yang berjaya direalisasikan selepas melalui pelbagai cabaran, memberi manfaat kepada rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Baginda bertitah cadangan pembinaan LRT3 itu tercetus susulan keluhan diterima baginda daripada rakyat, khususnya golongan suri rumah yang sering mengadu mengenai kesukaran suami mereka pulang tepat pada waktunya akibat kesesakan lalu lintas yang teruk.

Sultan Sharafuddin turut memberi penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mendengar titah baginda agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Baginda bertitah ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan melintasi Sungai Klang sehingga menyebabkan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk dan sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran kerajaan di bawah Najib ketika itu memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018.

Baginda bertitah apabila berlaku pertukaran kerajaan pada 2018, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan, sebelum berdepan tambahan kelewatan selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19 sehingga 2021.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa dalam tempoh tersebut, cadangan saiz setiap stesen turut dikecilkan, jumlah gerabak tren dikurangkan, manakala lima lokasi stesen yang dicadangkan dalam jajaran berkenaan dibatalkan.

Justeru, baginda menegaskan bahawa projek LRT3 itu bukanlah sebuah projek mega yang dilaksanakan untuk bermegah-megah, sebaliknya merupakan inisiatif penting demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain menawarkan pilihan pengangkutan lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat, khususnya penduduk Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.

Baginda juga berharap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memastikan penyelenggaraan laluan LRT3 dilaksanakan secara berterusan agar perkhidmatan dapat beroperasi dengan lancar dan cekap.

Pada masa sama, baginda menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 tidak seharusnya dikaitkan dengan usaha mana-mana pihak secara bersendirian.

"Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata. Hakikatnya, projek ini hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya," titah baginda.

Baginda berharap kemudahan infrastruktur LRT3 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai antara nadi utama pertumbuhan negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan