Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hanya 54 Peratus Terima Tawaran Sertai Skim Perkhidmatan AKPS - Mohd Shuhaily

01/07/2026 08:49 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Hanya 54 peratus atau 3,429 daripada 6,341 pegawai yang ditawarkan menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menerima tawaran untuk beralih ke skim perkhidmatan agensi itu.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata antara para pegawai yang bersetuju menyertai sepenuhnya skim perkhidmatan tersebut yang mula berkuat kuasa hari ini itu ialah daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.  

Beliau berkata skim perkhidmatan AKPS menawarkan dua kenaikan gaji serta pelbagai peluang kerjaya yang lebih baik kepada pegawai memandangkan agensi itu masih baharu dan mempunyai banyak kekosongan.

Ad Banner
Ad Banner

“Hanya 54 peratus sahaja yang setuju untuk menyertai. Yang selainnya itu, saya tidak mampu komen tetapi kalau diambil daripada tawaran kerajaan itu sebagai kayu pengukur, saya tidak nampak sebab kenapa tidak mahu diterima.

"Ini kerana ia jauh lebih baik daripada apa yang sedang mereka kecapi hari ini antaranya dua tangga gaji,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan AKPS, di sini, hari ini.

Skim perkhidmatan tersebut merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam pembangunan organisasi yang memperkukuhkan identiti AKPS sebagai agensi tunggal kawalan dan perlindungan sempadan negara. 

Mohd Shuhaily berkata berdasarkan pemakluman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), skim perkhidmatan AKPS merupakan skim perpindahan terbaik yang pernah ditawarkan kerajaan dan julung kali melibatkan dua kenaikan tangga gaji.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan kerajaan benar-benar mahu melihat agensi tunggal kawalan sempadan ini diwujudkan dan beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Mengulas faktor sebahagian pegawai menolak tawaran itu, Mohd Shuhaily berkata beliau tidak mahu membuat sebarang andaian namun tidak menolak kemungkinan terdapat pegawai yang masih mahu kekal bersama agensi asal masing-masing atau kemungkinan wujudnya faktor luar.

“Sekiranya mengambil kira slip gaji dan tangga gaji, semuanya jauh lebih baik daripada yang dahulu. 

“Jadi saya pun tidak tahu mengapa mereka menolak sesuatu yang lebih baik daripada yang sedia ada. Tepuk dada, tanya selera masing-masing,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata beliau kini menunggu arahan lanjut daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung langkah seterusnya bagi mengukuhkan perjawatan dalam AKPS.

Katanya, beliau secara peribadi menerima permohonan dan pertanyaan daripada pegawai daripada jabatan termasuk Polis Diraja Malaysia untuk menyertai AKPS namun sebarang keputusan mengenainya bergantung kepada dasar yang akan ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan akan membuat keputusan dasar sama ada bagaimana mereka harus menambah kekuatan dalam AKPS semua,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan