KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan pegangan saham tempatan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus bagi memastikan kawalan strategik negara terus terpelihara.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata syor itu dikemukakan bagi memastikan aspek kedaulatan serta kepentingan strategik negara tidak terjejas susulan perubahan struktur pemilikan MAHB.
“Bagi mengekalkan kawalan strategik negara, pegangan saham tempatan yang digabungkan di bawah Khazanah dan KWSP mestilah dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
PAC turut mengesyorkan sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti atau pelupusan aset strategik MAHB pada masa hadapan mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri secara telus.
Selain itu, MAHB turut disyorkan memperkukuh kerjasama strategik bersepadu bersama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Komunikasi bagi menyelaras pembangunan industri penerbangan.
PAC turut mengesyorkan penglibatan awal pemegang kepentingan industri, khususnya syarikat penerbangan tempatan, dalam perancangan pembangunan infrastruktur bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan memenuhi keperluan operasi sebenar.
Bagi meningkatkan kecekapan operasi secara berterusan, MAHB disaran mewujudkan mekanisme perundingan berkala dengan syarikat penerbangan utama supaya setiap perancangan pembangunan tidak bersifat unilateral.
Dari aspek ketelusan, PAC mengesyorkan MAHB turut menerbitkan laporan prestasi operasi serta petunjuk prestasi utama (KPI) perkhidmatan secara berkala kepada umum walaupun selepas penyahsenaraiannya.
MOF dan MOT pula disarankan memastikan MAHB mengemukakan laporan kemajuan fizikal serta aliran tunai projek berimpak tinggi seperti Aerotrain, Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) dan projek pembesaran lapangan terbang secara berkala bagi tujuan pemantauan.
Laporan kemajuan projek itu juga disyorkan dibentangkan di Dewan Rakyat serta dikemukakan kepada PAC Parlimen berkaitan bagi tujuan semak dan imbang berterusan.
Selain itu, PAC mengesyorkan MAHB memperketat tatacara perolehan serta sistem saringan kontraktor dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi membanteras amalan kartel serta memastikan kualiti infrastruktur awam terjamin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial